Sunday, August 14, 2011

Atok(Cerpen Ramadhan)

Atok (oleh Bintu Nasr)

“Atok…buat apa tu? Tidurlah Atok..Itam dah tidur pun..” tangannya mengagah misai kucing yang tengah nyenyak tidur, seronok dia bila si Itam menggerak-gerakkan mulut menepis dalam tidur.

Atok hanya tersenyum. Atok bangun sambil meluruskan pinggang. Pinggang Atok sakit. Lutut pun sakit. Atok ambil tudung saji dan Atok tudungkan lauk sahur di atas para. Lauk tak boleh diletak di atas lantai, nanti ada saja ‘tetamu’ yang menjamah dahulu sebelum sempat sahur.

“Sufi, bentang tikar tu elok-elok cu..Ni, dah ambil wudhu’ ke belum ni?” Atok memandang Sufi. Lalu Atok ke tingkap. Atok lepaskan tali rapia pengikat langsir guni. Sufi suka langsir guni, cantik. Langsir kat rumah mama tak seronok macam langsir guni. Langsir guni boleh digulung-gulung turun naik.

“Atok…ambilkan wudhu untuk Sufi ye? Sufi malaslah Atok…mengantuk ni ha..”Matanya dikecil-kecilkan memandang Atok, meminta difahami.

“Taknaklah, Atok pun malas juga. Malas nak tidur dengan orang takde wudhu’. Takut. Nanti bukan malaikat jadi kawan tidur..tapi…….”Atok mengacah.

“Atok..janganlah sebut benda takut tu..Atok ni..”

Atok senyum. Atok capai gores api dan Atok nyalakan lingkar ubat nyamuk. Atok letak lingkar ubat nyamuk pada piring. Atok pandang Sufi. Sufi tengah senyum.

“Kenapanya?” Atok tanya pada Sufi. Atok dah naik atas tikar. Tapi Atok bangun balik. Atok terlupa nak sumbat kain pada pintu dapur. Nanti katak boleh masuk. Ular pun boleh masuk. Atok pandang Sufi lagi.

“Pergi ambil wudhu’ Sufi..”Ujar Atok lagi. Atok buat-buat muka garang. Tapi Sufi kenal Atok. Atok takkan marah kalau Sufi tak buat salah.

“Sufi dah ambillah Atok..Atok, atok dah niat ke? Besok batal puasa, tak niat....”petah si kecil mengingatkan Atoknya. Kalau dulu, Atok yang selalu pesan pada Sufi, kini Sufi pula pesan pada Atok. Atok kata, kita kena selalu pesan-pesan sesama makhluk, kepada kebenaran dan kepada kesabaran. Jadi, Sufi suka pesan pada Atok, pesan pada Nisah, pada Badil, pada Cuki. Cuki pun makhluk juga. Sufi pesan, Cuki jangan makan banyak rumput, jangan makan bunga Alang Lebor, nanti Alang lebor tambat Cuki pada perdu nangka. Nanti Sufi tak dapat tarik Cuki ke gigi air kali. Tak seronok.

*

Atok lurut kepala dan rambut Sufi. Atok pangku Sufi ke riba. Sufi jatuhkan kepala kembali ke bantal lembek. Sufi kasihan pada Atok. Kepala Sufi berat. Atok senyum. Atok pangku lagi kepala Sufi. Sufi tak melawan. Atok kata, tidak mengapa. Kepala Sufi ubat sakit lutut Atok. Sufi tersengih.

Atok lurut rambut Sufi lagi. Atok senandung lagu dodoi. Sufi suka dengar Atok nyanyi. Tapi Sufi suka lagi kalau Atok mengaji. Tapi Sufi tak suka Atok mengajar Sufi mengaji. Atok pegang rotan bilah panjang. Bila Sufi salah, Atok libas rotan pada lantai rumah. Angin desup bekas libasan terbangkan tudung Sufi. Sufi jadi tergamam.

Sufi berkhayal. Esok Sufi akan ke rumah Nisah, Sufi nak tanya, Nisah dah sihat ke? Mak Nisah kata, Nisah demam. Nisah tak puasa. Bila Sufi naik bilik Nisah, Sufi nampak ada kuih cara dekat kepala Nisah. Sufi sedih. Nisah tak puasa. Badil kata, Nisah tak boleh puasa, Nisah tak larat. Bila Sufi balik rumah, Sufi cakap pada Atok, Sufi pun tak larat puasa. Atok senyum tapi Atok tarik Sufi ke riba Atok. Atok kata, orang sakit je takboleh puasa. Sufi kata Sufi pun sakit juga. Sebenarnya Sufi dah nampak putik jambu pokok belakang rumah Atok. Ada segugus putik dah jadi buah. Sufi terngiur.

“Tak baik pura-pura sakit..Nanti Allah bagi Sufi sakit macam mana? Kasihan Atok..”Atok pujuk Sufi. Sufi rasa penat. Sufi pun tidur atas riba Atok. Bila Sufi buka mata. Langit dah nak gelap. Sufi jadi suka, dah nak dekat berbuka. Sufi tengok dalam raga, ada jambu baru masak. Sufi tersenyum. Atok tersenyum.

Malam tu, Atok bergegas turun ke tanah. Atok bawa sumpit lusuh isi pelita. Tangan kanan Atok pegang botol minyak tanah. Sufi ikut Atok turun, Atok kata Sufi boleh turun sampai tangga je. Budak-budak tak elok cecah tanah malam-malam kata Atok. Nanti tak boleh tidur.

Sufi tengok Atok isi minyak dalam pelita. Lepas tu Atok capai gores api dan bakar sumbu pelita. Sufi tepuk tangan bila pelita menyala. Atok gantung pelita pada paku tepi tangga dan paku tepi tulang rumah. Rumah Atok jadi cantik. Sufi tengok rumah TokSu Limah dan rumah Tokngah Seman pun pasang pelita. Sufi tengok rumah Badil, Badil susun pelita pada kayu pacak sepanjang jalan masuk. Badil melambai pada Sufi. Nisah pun lambai pada Sufi. Sufi jadi seronok.

*

Sufi tengok Atok tengah jemur tepung gandum. Semalam Atok tumbuk kacang hijau. Atok buat tepung kacang hijau. Sufi tahu Atok nak buat apa, Atok nak buat kuih bahulu dan kuih bakar. Atok dah sikat pisang kat belakang pondok Atok. Sufi nampak Atok pandang-pandang perdu kelapa. Atok panggil Pakcik Amir, suruh ngopek kelapa. Atok nak kukur kelapa, nak masuk dalam kuih bakar.

Malam itu, mama dan abah datang. Sufi gembira sangat. Mama tolong Atok bakar kuih. Abah pula turun pasang pelita. Lepas tu abah panggil Sufi turun. Sufi tanya pada Atok, Atok izin Sufi turun tapi Atok kata ada syarat. Sufi kena berzikir. Sufi tahu zikir, Atok ajar Sufi zikir.

Abah belikan Sufi bunga api. Sufi jadi seronok sampai Sufi lupa zikir. Tiba-tiba Sufi nampak kelibat babi hutan tepi parit. Dia sondol pokok pisang Atok. Sufi takut. Sufi terus berzikir. Sufi tahu dia datang sebab Sufi seronok main tanpa zikir. Sufi jadi sedih.

Abah bakar jamung dan abah cucur api pada surat khabar. Abah baling pada pokok pisang. Babi hutan masuk hutan kembali. Abah kata babi hutan takut pada api. Sufi rasa dia takut pada zikir Sufi. Mama panggil naik. Bunga api Sufi balut dalam surat khabar. Abah kata kalau bunga api kena air, jadi basah lembab, tak seronok, sebab nanti tak boleh main dah. Dia tak mahu terbakar. Sufi simpan surat khabar dalam plastik lusuh. Sufi minta abah selit pada ambang pintu. Esok Sufi main lagi.

Mama tunjuk Sufi baju baru. Baju kurung untuk Sufi. Baju kurung untuk Atok. Mama beli sama warna. Mama beri kain batik dan tudung pada Atok. Sufi pun minta tudung juga. Mama kata Sufi kecil lagi, Sufi baru 5 tahun. Sufi tidur awal malam tu, penat main bunga api. Bila Sufi terjaga, belum dengar bacaan Quran lagi, Sufi tahu belum masuk waktu sahur. Sufi cepat-cepat kejut Atok. Sufi terkejut. Atok tidak tidur di atas tilam. Atok baring dekat almari tua atas tikar lusuh. Sufi bangun perlahan-lahan pergi pada Atok. Sufi pun nak tidur atas tikar. Sufi kejut Atok. Atok buka mata. Sufi cakap.

“Atok, dah niat ke?” Atok tersenyum dan Atok rangkul badan Sufi. Sufi tidur berbantal lengan Atok.

Kini, Sufi dah dewasa. Sudah berumur 21 tahun. Sufi ingat apa yang Atok buat sepanjang Ramadhan ketika Sufi berumur 5 tahun. Setiap kali Ramadhan, Sufi akan ingat yang Atok selalu bangun awal sebelum sahur, Atok qiam, lepas tu Atok baca Quran. Ketika itu, Sufi tahu Atok sedang bertilawah tapi Sufi terus tidur. Atok kejut Sufi bangun sahur bila imam kampung baca Al-Fatihah dan kemudiannya ayat-ayat suci Quran yang lain.

Sufi pernah tanya pada Atok. Kenapa Atok bangun awal, solat qiam, baca Quran lepas tu Atok selalu menangis. Sufi jadi resah bila Atok menangis. Ada satu malam Sufi bangun sebab Atok menangis. Bila Atok nampak Sufi, Atok tersenyum. Sufi nak pujuk Atok tapi Sufi tertidur pula. Bila Sufi tanya Atok balik kenapa Atok buat semua tu. Atok jawab.

“Untuk memaknakan Ramadhan” Bila Sufi diam, Atok ketawa. Sufi tak mahu tanya lagi sebab nanti Atok akan cakap, “Nanti bila Sufi dah besar, Sufi akan faham” Sufi tak suka. Sufi lambat lagi nak besar ketika itu.

Bila Sufi tanya, “Atok faham ke baca ayat Al-Quran tu tok?” Atok ketawa. Atok lalu bercerita pasal seorang lelaki yang menangguk air menggunakan raga. Sufi jadi faham. Walaupun kita tak faham bila baca Al-Quran, Atok kata sekurang-kurangnya, pembacaan itu boleh membersihkan hati kita. Macam menangguk air menggunakan raga, air memang tak terkumpul, tapi raga jadi bersih. Sufi suka dengar cerita Atok itu. Sufi jadi rajin membaca muqaddam. Sufi dah hafal Al-Fatihah sampai Surah Al-A’diyat dalam muqaddam. Sampai sekarang, Sufi dah besar, ayat-ayat tu lazim Sufi bacakan dalam solat. Sufi juga menghafal Juz 28,29 dan 30 dari kandungan Al-Quran. Atok yang ajar Sufi menghafal.

*

“Sufiah, hang bila balik?” Sufi pandang Hazirah. Sufi jadi lupa pada Atok. Sufi senyum pada Hazirah.

“InsyaAllah esok. Hang, zirah. Bila balik?” Sufi bertanya kembali.

“Aku lambat lagi. Tiket aku lambat wei. Malam ghaya kot aku boleh jejak kampung laman. Haru..” Ujarnya sambil berseloroh. Hazirah hanya berseloroh.

Hakikatnya, Ramadhan baru menjelma. Sufi bakal balik ke kampung Atok. Sekarang Atok dah tak pakai langsir guni lagi. Rumah Atok dah jadi rumah bawah. Mama yang buatkan. Sufi rindukan Atok. Sufi tahu Atok akan buat Kuih Bakar, Bahulu dan kerepek pisang lagi tahun ni.

Tapi Sufi bersemangat nak balik hanya sebab satu perkara. Untuk memaknakan ramadhan bersama-sama Atok. Sekarang Sufi faham apa yang dimaksudkan Atok dengan ‘menjadikan ramadhan ber-roh’.

Sufi cuma ingin berpesan, Ramadhan yang bakal datang ini, haruslah dimaknai dengan melebihkan ibadah dengan ikhlas kerana Allah. Ramadhan merupakan madrasah taqwa bagi insan yang ingin menyucikan dirinya. Di dalamnya terkandung seribu satu rahmat yang tak terhitung nikmatnya. Jangan terlalu mengejar Lailatul Qadar, bimbang terbazir hari yang lainnya. Beribadahlah sepenuhnya di bulan ramadhan itu.

Kerana, Atok Sufi pernah berpesan, beribadahlah seperti inilah Ramadhan terakhir kita, kerana, bimbang-bimbang, mungkin benar inilah Ramadhan terakhir kita di dunia.

>Bintu Nasr (20 Sya’ban 1432H @ 22 July 2011 : 2:32AM)

Nota kaki: Ana memaknakan situasi ini hanyalah untuk merekayasa, intinya mungkin tidak terlalu ketara Cuma sekadar berkongsi ingatan, cara kita menymbut Ramadhan dulu dan kini mungkin berbeza. Di situlah terletaknya manis pengalaman. Inspirasi cerpen ‘gigi sulung’ ini ana perolehi semestinya berkat hidayah Allah s.w.t namun patinya terletak pada ingatan tulus ikhlas buat kedua almarhumah nenda ana. Al-Fatihah buat Almarhumah kedua nendaku Hajah Bidayah bt Abdul Hamid (Julai 2011) dan Ainon bt Mohamed (Januari 2009). Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Friday, August 12, 2011

Aku Dan Cahaya.


Kau membentangkan hamparan solatmu. Kau qiam sementara lalu bergemalah takbir di bibir lemahmu. Kau mendendang Iftitah bersahaja, selajunya kau memuqadimahkan Fatihah. Lalu setelah sebuah surah lazim yang kau baca laju-laju, kau lalu ruku’. Sami’Allahu liman hamidah. Tiba-tiba, keadaan menjadi sangat asing. Sangat asing.

Kau terpinga-pinga. Untung sahaja solatmu tidak batal. Tapi tetap kau masih terpinga-pinga. Sujudmu tangguh. Kerana kau masih terpinga-pinga. Apakah ini?

Di hadapanmu terbentang selautan yang amat aneh. Kau tidak pasti ombak apakah itu. Di pantai manakah kau berada. Tiba-tiba ombak itu beralun serentak. Sekali lagi kau terpana. Ya Allah, apakah ini? Dan kau masih dalam I’tidal.

Di hadapanmu berbaris beribu-ribu umat yang baru saja bangun dari sujud. Mereka tenang di antara dua sujud. Kau cepat-cepat memuqadimahkan sujudmu yang tertangguh. Entah mengapa. Kau bangun dari sujudmu yang pertama. Aneh. Cahaya apakah ini? Lautan manusia di hadapanmu tadi sedang enak mencium tanah tanpa berkutik sedikitpun. Aneh. Ada cahaya yang mengelilingi setiap daripada mereka. Ada yang sangat terang benderang, yang silau menyilau, ada yang sederhana tapi yang berlatar dekatmu itulah yang paling malap. Ya yang paling malap.

Di kananmu terdapat sebuah menara. Baru kau sedar itu. Menara itu terbuat daripada kaca. Aneh sekali rupanya. Menara itu punya pasir halus di dalamnya, sangat halus. Pasir di bahagian atas menara yang terbahagi dua dan dipisahkan lurah sempit lagi halus lebih sedikit dari yang terdapat di bahagian bawahnya. Selayaknya kau mengenal menara itu sebagai jam pasir. Ya jam pasir. Dan pasiran yang sangat halus itu terus menerus turun. Perasaanmu menjadi tidak enak. Kau merasa amat tergesa-gesa.

Kau lalu menyudahkan rakaat keduamu sepantasmu. Sedang insan-insan disekelilingmu masih ralit. Ralit di dalam qiam mereka. Kau menjadi takzim. Kerana apa yang kau dapati adalah cahaya-cahaya yang menyinari setiap dari mereka kini sekata. Kesemuanya terang bercahaya menyilau mata. Hanya yang berkitar dekatmu yang paling malap. Yang paling malap. Kau tolehkan kepalamu ke kanan, dan kau tolehkan ke kiri. Mengucap salam. Hilang. Lautan dan ombak insan tadi hilang. Kau terpana seketika, apakah itu?

Subuhmu usai sudah. Matamu terasa amat berat lalu kau dodoikannya dengan hawa subuh yang nyaman. Begitu sahaja.

Zuhur itu, kau berbuat seperti biasa. Selepas qiammu kau lalu ruku’ dalam lupa. Saat kau mengangkat I’tidalmu, sekali lagi kau terpana. Apakah ini? Kau menjadi sangat marah. Sekali lagi kau berada dalam lautan manusia yang sedang ralit beribadah. Mereka dengan jelas sedang sujud. Kau menjadi tidak puas hati kerana cahayamulah yang paling malap sekali. Entah bila kau segera menyamakan solatmu dengan mereka. Engkau sujud dan tidak bangun selagi mereka tidak bangun. Sujudmu terasa begitu lama. Lama sekali. Hinggalah kau merasa begitu nyaman ketika bangun dari sujud. Aliran di jantungmu terasa begitu pantas dan deras, kau merasa pembuluh darahmu lancar tak berhalangan, ah persetankan semua itu. Kerana tumpuanmu sekarang adalah cahayamu. Cahayamu masih yang paling malap di situ. Kau berusaha. Berusaha sekeras-kerasnya, bagi menerangkan lagi cahayamu. Kau ruku’ dan kau sujud sekeras-kerasnya demi menerangkan cahaya itu. Kau begitu menjaga setiap bacaan dalam solatmu, kau begitu menjaga setiap toma’ninah dan tertibmu. Tapi tetap, cahayamulah yang paling malap. Ia semakin terang, tetapi cahaya mereka lebih terang. Kau jadi cemburu. Kau selarikan salammu dengan mereka. Dan hilang.

Kau gelisah. Serasanya terlalu lambat masa berjalan. Asar terasa amat jauh. Kau bertekad bahawa kau akan berbuat sehabis baik untuk Asarmu. Moga cahayamu seterang mereka.

Kau hamparkan sejadahmu setelah kau selesakan hawa di kamarmu. Setelah ruku’, sekali lagi kau bersama mereka. Senyum bersabit di bibirmu. Nantikan, kau akan kalahkan cahaya mereka itu. Kau menjaga setiap rukun dalam solatmu, bacaanmu tartil, tingkahmu tertib, segala toma’ninah sekalipun ketepatan ruku’mu telah kau teliti. Cahayamu menjadi semakin terang. Kau merasa senang. Kau merasa tidak lama lagi cahayamu akan menjadi yang paling terang. Lihatlah kalian, aku akan mengalahkan kalian. Lihatlah cahayaku. Tiba-tiba belum sahaja ruku’mu yang keempat, cahayamu malap sama sekali. Kau hilang segalanya, kau menjadi sebak, cahayamu telah tiada. Kaulah yang paling hitam antara mereka. Kau menangis semahunya di sujud akhirmu. Salammu yang paling telat. Yang kau tahu setelah salam pertamamu, insan-insan tadi telah hilang terlebih dahulu. Tinggal kamu tanpa cahaya.

Kali ini, kau merendahkan hatimu serendah-rendahnya. Lebih rendah dari tanah tempat kau berdiri. Kali ini, kau memenuhkan dadamu dengan sebak yang melimpah. Tinggal tabir yang tertutup menghalangnya dari meruah. Kau bersedia dengan Takbiratul Ihrammu. Kali ini kau merasa sangat kerdil. Aneh. Situasi itu terjadi lebih awal. Baru sahaja kau menjatuhkan takbirmu, kau tertarik ke alam itu. Kau malas untuk memikirkan kerana kaulah yang paling malap. Jam pasir di depanmu itu sudah terbalik porsinya. Yang bawah mengatasi yang atas. Secara tuntas kau tahu bahawa masa semakin suntuk. Kau secara automatiknya memahami bahawa itulah jam masamu. Desup pasir itu terasa begitu laju. Tapi kau malas untuk mengendahkannya. Kerana kaulah yang paling malap. Kali ini, tidak kau hiraukan sesiapa. Kau sempurnakan solatmu mengikut hatimu. Kau letakkan dirimu satu-satunya. Satu-satunya. Usai salam, kau menoleh sekeliling, sungguh kau terasa ingin tersenyum tapi tiba-tiba menangis. Dan cahayamu yang tiba-tiba menjadi benderang menjadi lebih terang. Ye, kau sedar bahawa riakmulah yang memadamkan cahayamu sebentar tadi. Dan kerana itu kau menangis.

Cahayamu sangat terang, sangat terang. Tapi terang lagi cahaya insan-insan yang masih dalam sujud di hadapanmu. Kau merasa tidak mahu mengendahkan mereka kerana khuatir cahayamu akan malap jika melintas sebarang fikiran di benakmu. Tapi mindamu tidak mampu dihalang. Tetap juga kau berfikir. Mereka masih ralit dalam sujud, sedangkan kau setelah salam masih di sini. Ya, kau merasa aneh, tapi kau tahu tentu ada sesuatu. Jam pasir masih berdesup. Dan kau masih memerhati. Kau aneh, antara dirimu dan diri mereka. Kau menoleh ke kanan dan ke kirimu. Di saf tempat kau bersimpuh hanya kau sahaja di situ. Sedang insan-insan di hadapanmu berbaris rapat-rapat sehingga sukar kau melihat susuk di hadapan barisan depanmu itu. Kau tersedut kembali ke alam nyata.

Di hamparan yang kau lemparkan sebentar tadi, kau masih berteleku. Kau diam, tanpa mengisi senggang Maghribmu. Monologmu: “Ya Tuhanku, mereka itu berlumba-lumba denganku dalam mencari pandanganMu. Semestinya mereka itu yang lebih Kau pandang kerana terangnya cahaya mereka. Ya Tuhanku, aku ini kusam di hadapanMu, masakan bisa aku bersaing dengan mereka ya Allah. Ya Tuhanku, mengapa kau sisihkan cahayaku dari PenglihatanMu ya Allah, ya Tuhanku, apakah yang harus aku lakukan bagi merebut cahaya itu? Rezekikan hikmah kepadaku ya Allah. Rezekikanlah ya Allah.”

Lamunmu terhenti. Sayup-sayup terdengar bacaan Tilawah dari musolla taman perumahanmu. Kau lalu bingkas untuk memperbaharui wudu’mu. Kerana kau ingin merebut sehabis daya dengan insan tadi. Supaya kau menjadi yang paling terang dalam pandangan Tuhanmu. Kau meratakan wudu’ di setiap anggota wudu’mu. Kau telusi wudu’mu tanpa jeda. Hinggalah hikmah sampai ke benakmu. Kau terkersip tapi tidak lama. Tidak lama.

Kau bingkas ke kamarmu, lalu kau capai kopiahmu. Hamparan yang terhampar di permaidani kamarmu kau pandang sekilas lalu kau hampirinya. Kau tahu. Kau tahu. Hampar itu kau lipat dan kau keluar. Keluar dari rumahmu. Menuju musolla itu.

Kau berada dalam saf. Setelah kau menyapa teman kiri dan kananmu, setelah kau meniatkan Isya’ di hatimu, dan setelah kau mengangkat Takbiratul Ihrammu, kau kembali ke sana.

Jam itu masih berdesup. Dan bahagian atasnya sangat tipis. Pasirnya dikit. Tapi kau tidak hiraukan itu. Kerana takjubnya engkau yang kau kini berada di tengah insan-insan yang kau lihat dari balakang maghrib tadi. Kau telah berada dalam lautan kalangan mereka. Cuma cahayamu belum seterang itu. Kau tekad untuk merebut pandangan Tuhanmu, lalu kau perhalusi setiap inci solatmu. Kau berihsan bahawa Tuhanmu berada di hadapanmu, sehingga solatmu menjadi begitu tawaduk oleh akibat kau malu mengangkat muka di hadapan Tuhanmu. Kau mengikut langkah orang yang mengimamkanmu. Kau sedar bahawa kau mengikutnya tapi tidak kau peduli akan perkara lainnya. Kau terus ralit dalam ibadahmu. Dan tanpa kau sedari,kau menjadi sangat putih. Sangat putih. Tanpa kau sedari.

Tiba-tiba kau merasa Dilihat. Tapi kau malu mengangkat wajahmu. Kau risau bahwa rasa dibenakmu mungkin merupakan riak lalu terus kau perhalusi solatmu tanpa menghiraukannya. Dan kau menjadi sangat putih. Sangat putih.

Imammu memberi salam. Dan kau menyambutnya juga dengan salam penghabisan solatmu. Jam pasir di hadapanmu telah kosong bahagian atasnya. Kau pucat tapi cahayamu paling terang. Mengapa? Telah habiskah waktu?

Jam itu tertonggeng dengan sendirinya. Dan masa kembali berlari.

Kau tersedut keluar dari mimpi. Yang bukan mimpi. Di hadapanmu orang itu, begitu juga di kiri kananmu. Merekalah insan yang kau lihat dalam safmu sebentar tadi. Kau lalu berdoa: “Ya Allah, pandanglah daku, pandanglah daku”. Kau telah temui cahayamu yang paling terang dalam jamaah menghadapNya. Kini telah sampai hikmah ke benakmu.

Masa yang berlalu terasa begitu panjang. Untuk kau kembali mengukir cahaya di depan Tuhanmu. Ya, masa telah berlari dan nanti kau kan ketemu dengan subuhmu jika Tuhanmu menginginkan. Tapi, kau terasa masa begitu kosong. Lalu kau niatkan sunat menghadap Tuhanmu. Takbiratul Ihram kau angkat lagi. Kali ini kau berseorangan. Tiada saf depan, kiri dan kananmu. Kaulah cahaya di situ. Kaulah yang paling terang dan tiada yang menandingimu. Kau tersenyum kemudian menangis tapi cahayamu malah semakin terang. Kau arif bahawa ini bukanlah waktunya. Dan kau arif bahawa ketika inilah kurang persaingan buatmu. Tapi kau arif bahawa selamanya kau kerdil. Lalu dalam Qiamullailmu, kau memuji-muji Tuhanmu. Tidak kau pedulikan cahaya itu kerana kaulah satu-satunya di situ. Dan kau tahu Tuhanmu melihatmu.


Tol: Solat itu dinilai di sisi Tuhan. Ketahuilah bahawa dengan solat berjemaah akan bergandalah pahala amalan. Riak membunuh pahala amalan, merosak niat, memudarkan cahayamu di hadapan Tuhan. Dan tahulah bahawa solat sunat itu merupakan bonus bagi hamba-hambaNya yang benar mengharapkan keredhaan Tuhan mereka.-Saif Fissabil.

Sunday, August 7, 2011

4 Isteri Jagalah Yang pertama~

Suatu ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.

Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedangang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.

Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, "Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri."

Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, "Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?" Isteri keempatnya terdiam. "Tentu saja tidak!" jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.

Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, "Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?". Isteri ketiganya menjawab, "Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati". Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, "Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku? " Si isteri kedua menjawab perlahan, "Maafkan aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu."

Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa.

Tiba-tiba terdengar satu suara, "Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu." Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, "Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku."

Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini;

ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.

ISTERI KETIGA adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburlah mereka akan menemani kita.

DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering

mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita diakhirat kelak.

Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari!

Wednesday, August 3, 2011

TAUSYIAH K.H RAHMAT ABDULLAH:


Banyak orang tertawa tanpa (mau) menyadari sang maut sedang mengintainya. Banyak orang cepat datang ke shaf shalat laiknya orang yang amat merindukan kekasih. Sayang ternyata ia datang tergesa-gesa hanya agar dapat segera pergi. Seperti penagih hutang yang kejam ia perlakukan Tuhannya.
Ada yang datang sekedar memenuhi tugas rutin mesin agama. Dingin, kering dan hampa,tanpa penghayatan. Hilang tak dicari, ada tak disyukuri. Dari jahil engkau disuruh berilmu dan tak ada idzin untuk berhenti hanya pada ilmu. Engkau dituntut beramal dengan ilmu yang ALLAH berikan. Tanpa itu alangkah besar kemurkaan ALLAH atasmu.
Tersanjungkah engkau yang pandai bercakap tentang keheningan senyap ditingkah rintih istighfar, kecupak air wudlu di dingin malam, lapar perut karena shiam atau kedalaman munajat dalam rakaat-rakaat panjang.

Tersanjungkah engkau dengan licin lidahmu bertutur, sementara dalam hatimu tak ada apa-apa. Kau kunyah mitos pemberian masyarakat dan sangka baik orang-orang berhati jernih, bahwa engkau adalah seorang saleh, alim, abid lagi mujahid, lalu puas meyakini itu tanpa rasa ngeri. Asshiddiq Abu Bakar Ra. Selalu gemetar saat dipuji orang. “Ya ALLAH, jadikan diriku lebih baik daripada sangkaan mereka, janganlah Engkau hukum aku karena ucapan mereka dan ampunilah daku lantaran ketidak tahuan mereka”, ucapnya lirih.
Ada orang bekerja keras dengan mengorbankan begitu banyak harta dan dana,lalu ia lupakan semua itu dan tak pernah mengenangnya lagi. Ada orang beramal besar dan selalu mengingat-ingatnya, bahkan sebagian menyebut-nyebutnya. Ada orang beramal sedikit dan mengklaim amalnya sangat banyak. Dan ada orang yang sama sekali tak pernah beramal, lalu merasa banyak amal dan menyalahkan orang yang beramal, karena kekurangan atau ketidak-sesuaian amal mereka dengan lamunan pribadinya, atau tidak mau kalah dan tertinggal di belakang para pejuang.
Mereka telah menukar kerja dengan kata. Dimana kau letakkan dirimu?
Saat kecil, engkau begitu takut gelap, suara dan segala yang asing. Begitu kerap engkau bergetar dan takut. Sesudah pengalaman dan ilmu makin bertambah, engkaupun berani tampil di depan seorang kaisar tanpa rasa gentar. Semua sudah jadi biasa, tanpa rasa.
Telah berapa hari engkau hidup dalam lumpur yang membunuh hatimu sehingga getarannya tak terasa lagi saat ma’siat menggodamu dan engkau meni’matinya? Malam-malam berharga berlalu tanpa satu rakaatpun kau kerjakan. Usia berkurang banyak tanpa jenjang kedewasaan ruhani meninggi. Rasa malu kepada ALLAH, dimana kau kubur dia?

Friday, July 15, 2011

Hanya Selembar Kertas 1

Coretan Berbisik: 19 April 2011.

Tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah kepada-KU.

Sewaktu awal-awal membina, ana cenderung untuk menitikberatkan pengislahan diri untuk pengislahan orang lain. Jika hari itu ana bakal mengisi misalnya, dua tiga hari sebelum kejadian memang tiptop. Mutabaah alhamdulillah high flyers. jika menjadi lajnah bertindak dalam sesebuah program pula, ana amat-amat takut kealpaan ana menjadikan program itu sangkut. Time tu pun mutabaah high flyers.

Sebabnya sewaktu memasulahi BTMT di KMM dulu, murabbiah ana ketika itu sering menancapkan peringatan ini kepada ana dan lain-lain :"kelicinan sesuatu proses dakwah dan tarbiat sangat bergantung pada keimanan penggeraknya". Justeru bila ana menghubungi beliau berkenaan isu atau masalah berbangkit, sebati dengannya jawapan ini "mesti ada sebab perkara ini berlaku cuba cek balik iman antunna"...ringkas yang mendatangkan tegas. Ana akui yang ketika itu beliau punya peperiksaan dan ana pula..............ya, ia kali yang pertama..

Tapi kata-katanya memang ana ingat sehingga ke hari ini. Hubungan pengislahan dengan iman pengislahnya. Once doctrinated, I hold it tight. Memang ana pegang sungguh-sungguh nasihat ni, tapi sayang rupa-rupanya ada sisi yang amikn pudar. Ana m,enjadi lupa secara berkala..... Ada kalanya lupa, ingat dan kemudian lupa..........

Program terus ana tunggangi, liqo' terus ana organi, dan terus, dan terus lagi.. Setelah 2,3 bulan atau 2,3 tahun, tibalah satu saat keramat bila ana kembali bertanya pada diri sendiri...Berpuluh-puluh kali ana tanyakan, berpuluh-puluh kali ana soal,: "Kenapa mereka tak seperti ana dahulu?","Pelik, kenapalah mereka tak sama macam kita ye ukht?". Pelik. Sebab binaan ana, dan binaan orang lain juga, binaan, binaan, binaan tersebut manja~
Ye, manja~~~

Lalu bermulalah episod mencari asbab terhadap fenomena itu. Pelbagai usul dan hujah ana susun dan lontar dalam satu perdebatan alami antara ana dan diri sendiri. Pelbagai asbab yang kadangkala tidak dapat diabsahkan berkenaan ana dan binaan. Hinggalah ana teringin untuk bertanya murobbiah apakah tipsnya dalam membimbing ana dahulu. Tapi ana terkejar, terkejar oleh waktu. Kadang teringat akhowat yang sama berjuang tika itu, tapi ana kembali teringat, sudahlah Nabilah, teruskan sahajalah langkahmu ke hadapan. Pahit.

Tautan Hati, Bagaimana Menyentuh Hati, program, ziarah, ukhwah dalam halaqah, ikat hati, ketuk kesedaran, Palestina, masalah umat semua ana asbabkan sebagai peneguh tarbiah ana. dan telah juga ana doktrinkan ke dalam binaan. Ya, ada yang berhasil alhamdulillah, fikrahnya ke arah itu, tapi tsiqahnya masih di hujung jari belum di hujung hati!

Lalu Mengapa ya?

Tahun demi tahun, ana terus membina, membina sehingga terlupa binaan diri sendiri, air yang diceduk dan di isi dalam labu jiwa rupa-rupanya hilang setitis demi setitis...kerna labunya TIRIS!

Innalillahi...

Rupa-rupanya dalam membina itu ana terlepaskan sesuatu. Satu asbab yang baru ana temu dinihari tadi..Innalillah~~~~~~~~~~~IBADAH, qualiti kini menjadi quantiti. Astaghfirullahal azhim~
Ini rupanya...

Ana jaga mutabaah, tapi dari segi kuantiti. Bukan tak pernah diingatkan, tapi tak pernah terkesan. Bila jadi macam ni, orientasi liqo' menjadi lebih manusiawi, kesedaran, kesedaran, kesedaran...Kasihan binaan ana, mutabaah memang ana kutip dan emphasize tapi sambil lalu...protokol? Innalillahi..bila berpegang dengan modul dan alat bantu mengajar, prientasinya menjadi kurang seimbang, ada tilawah dan penekanan mutabaah tapi sayang sebab hati tak terkesan, penekanan pun longlai, kasihan binaan...

Intinya..ibadah. Intinya ibadah. Teringat dulu bila awal-awal ditarbiah, hati terikat dengan Tautan Hati kerana ibadahnya, di SIC ana belajar beribadah dan praktikalnya. Melalui ibadah ana belajar ziarah dan ukhuwah, melalui ibadah ana tahu apa itu ikat hati. Melalui ibadah, ketundukan pada perintah dan naungan Allah-lah ana belajar melihat dengan mata hati! Dengan ibadah ana belajar mencinta, dengan ibadah rupa-rupanya ana belajar membina!

Ibadah rupanya...Bila dah 'seasoned' dalam tarbiah ini, ana kembali memeta diri, innalillahi... Takrif iman: Kepercayaan dalam hati, meyakini dengan lidah dan mengabstrakkannya melalui perbuatan. Nah...justeru? Kembalilah beriman; meyakininya dengan aqidah, melukiskannya dalam ibadah.

Orientasiku kini kembali, ibadah rupanya, ibadah rupanya...

Ya Allah, jadikanlah aku seorang yang abid dan sentiasa mensucikan diri.. Innalillahi....