Friday, August 20, 2010

Kita ini Biduanda Tanah Melayu sahaja.

In The Name of Allah the Most Gracious The Most Merciful.

Telah sampai akan sesuatu ilmu ke benakku, yang mana bertambahnya ia,maka bertambah saksamaku dalam hidup, sungguh tidak ku cari cemerlang hanya di bilik-bilik kuliah, bahkan bukan juga daripada agenda di sebalik tabir. Kerana yang tersirat malah lebih dari itu...Percikan darah bonda melahirkan, juga keringat ayahanda yg turut membesarkan bukan buat dibazir hanya begitu..justeru, NABILAH maralah...!!

MasyaAllah...subhanallah segala puji-pujian hanya baginya ya Allah.. menciptakan waktu yang cukup, untuk ruang bernafas, entah mengapa tak tercapai akal fikiran kita ini mencari jawapan setelah memikirkan tentang sesuatu, dalam sedar kita ini juga mencongak-congak, manusia itu tidak dijadikan uni functional, bahkan multifunctional! dan kerana itu kita ini bisa bernafas sedang jemari leka menari di dataran kekunci paparan riba...

Seberapa banyak pun tugasan yang berlari di latar perancangan harian kita ini, tetap juga kita ini masih ampuh untuk bernafas dengan keadaan relung udara yang luas tidak tersepit.. Pelik ya? kita ini terkekang akan waktu dan segala, tapi mengapa sepertinya sentiasa ada waktu untuk menyelesaikan urusan-urusan kita ini?

Kita ini bukan peribadi tohor yang luhur. Bukan juga entiti yang bergerak jasadiah di labuhan kebenaran semata..Bahkan jahilnya kita ini lebih pekat berlatar dalam darah berbanding baik sangka. Entah di mana silapnya percaturan hingga kita ini sering rebah terbetang arah bila dihujam mehnah. Alhamdulillah, masih waras melaga fikiran bahawa yang baik itu datangnya dari Allah, begitu juga ujian musibahNya. Kita ini biasa-biasa sahaja..


Ibarat melukut di tepi gantang, masuk tak lebih, keluar tak kurang, kita ini begitulah..pada kehidupan, pada pengharapan. Justeru kita ini bukanlah pemegang labuhan jiwa, ambillah titipan tuan hamba dan minggirlah. Maafkan kekasaran buah bicara, tapi yang telusnya kita, itulah.. Kerana kita ini hamba biasa, biduanda tanah Melayu yang kian tohor budi bicaranya. maafkan khilaf kita ini..

Kita ini mengharapkan kedewasaan di celah keriangan, kerana kita ini telah jerih menahan ombak kalbu yang sering berputar di relung jiwa. Kerana wibawa kita ini, bukan hanya sebesar zarrah, bahkan mungkin lebih lagi. Astaghfirullah....Allah, maafkan kita, hambaMu ini.

Pengakhirannya, kita ini mohon dikaji, meski ibarat hanya melukut kita ini minta dikasihani. Minta sedikit...dimengerti. Kerana kurangnya perhatian, kita ini seringkali senyum sendiri, hanya sendiri. Mahukah tuan hamba menjadi teman sesenyuman kita? Mungkin tidak kerana telah tercipta untukmu urusanmu, dan tercipta buat kita ini urusan kita, juga tercipta kita ini, hanya untuk DIA sang Kekasih Abadi. Dan Allah lebih ilmu.

Salam sayang berseri senyuman buat kita kepada kalian.

Salam sejahtera buat junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w nabi kita ini, salam takzim buat penghuni langit dan bumi,
Assalamualaikum.