Thursday, January 16, 2014

Saksikanlah Bahawa Aku Seorang HambaNya!

Aku berada di Stesen Bus Butterworth, Pulau Pinang pada Jam 3.25 Pagi. Tidak seperti selalu yang kulihat, kerusi-kerusi masih kosong kecuali oleh dua gelandangan.

Yang seorang sedang enak tidur beralaskan tiga kerusi berkembar yang berdekak-dekuk. Tidakku tahu bermimpi apakah dia, kerana tidurnya tidak berbunyi. Tetapi aku tahu, esok pagi badannya akan sakit. Tetapi seperti selalu, dia aqkan mengendahkannya, juga.

Mungkin dia akan mati di sini suatu hari nanti, dalam tidurnya yang tidak berbunyi. Dan orang gelandangan sepertinya, tiada siapa yang akan peduli.

Dalam melihat kelenaannya itu, aku bertanya pada diriku, 'Fabi ayyi aala irobbikuma tukazziban?'. Nikmat Tuhan yang manakah kamu dustakan?

Seorang dua orang mula berani sepertiku. Mampir ke kerusi-kerusi kosong di sini. Tetapi, masih, otakku tak lepas memikirkan 'dia'.

Dia 'perempuan' yang menyambutku tadi. Yang mengundang rasa selamat ketika mula menapak ke sini tadi.

Sebelum aku sedari, 'dia' ialah seorang lelaki albino buta yang sering menemani laluanku wara-wiri ke feri selalunya.

Dia yang memakai kain pelikat, baju melayu teluk belanga serta skaf kepala.

Aku yakin dia sakit. Tetapi dia tidak pernah melunjurkan tangan serta mangkuknya ke arah marhaen sepertiku. Sebaliknya dia hanya berdiri sahaja di situ. Kaki lima ke feri. Dan senyumnya tidak pernah lekang dari raut wajahnya yang semula jadi cerah itu.

Dalam keganasan angin yang menampar hujung tudungku hingga terbuai-buai ini, aku tertanya sendiri, tidak sejukkah dia, si lena yang aman atau 'dia' pengemis paling pembersih?

Dan sekali lagi, hatiku berkata 'Fabi ayyi aala irobbikuma tukazziban?'

Dan hatiku, mengia.

Aku jadi ragu-ragu untuk mengeluarkan jaketku dari dalam begku atau memakan keropok yang masih lagi berbaki.

Kerana aku tidak mampu menyiat jaket itu kepada belahan-belahan samarata dan berfungsi bagi menyahkan kesejukan orang lain.

Juga tidak mampu mengagihkan keropok yang berbaki sedikit itu barang seorang sekeping?

Secara tiba-tiba, datang seseorang dari arah belakangku dengan menyorong kereta sorong. Aku melihat belakang bajunya yang tertulis 'terminal Bus Butterworth'.

Ku kerling jam di tangan, 3.25pagi. Ya, dialah yang menggerakkan aku untuk menulis di sini.

'Fabi ayyi aala irobbikuma tukazziban?'

MasyaAllah. Allah.

Maafkan aku masyarakatku. Sekalipun aku berada di sini dengan gaya intelektualku, emnulis jurnal peribadi dinihari ini, aku tidak mapu membantu kamu, kamu dan kamu.

Intelektualku hasil universiti. Tempatku lumbakan minda kerdilku mengatasi orang lain. Dengan taraf graduasi dengan cemerlang.

Rupanya kebanggaan itu yang aku dedikasikan untuk dakwah (aku aktivis dakwah yang kononnya sangat sibuk) serta untuk ibubapaku itu, tidak mampu mebantu kamu.

Aku secara tiba-tiba ingin berhenti menulis.

Aku lalu kembali bertanya pada diri 'Fabi ayyi aala irobbikuma tukazziban?'

Baik.

Aku kekalkan kebanggaan pada diriku.
Kerana itu nikmat Tuhanku.
Aku keluarkan jaket menyelimuti menghalang bersin bertali arus.
Kerana itu nikmat Tuhanku.
Dan aku memakan keropok yang berbaki.
'Bismillah' sesungguhnya ini nikmat Tuhanku.

'Nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?'
Tiada.

Kerana ummahku masih punya harapan!

Kalimah 'Lailahaillallah, Muhammadu Rasulullah' akan kujadikan cahaya yang akan aku lemparkan ke seluruh pelosok bandar dan desa.

Kerana jalan dakwah ini kita bayar dengan nyawa dan darah! Aku, harus melangkah megah!

Saksikanlah bahawa aku seorang, hambaNYA.

Pingu Cool