Wednesday, August 24, 2011

Entry untuk adik2 tersayang~

Jeng~~jeng~~jeng~~entry kali ini meraikan sedikit keduniaan Ramadhan. Persoalannya perlukan ia diraikan? hayok~~~~

(^__^) people live but people die. Harimau mati meninggalkan belang~manusia mati kadang-kadang nama pun turut dilupakan~tak kiralah betapa sayang kita kepadanya~~~

Justeru biar ada sedikit dari langkah seorang pengemis ini tercoret di kanvas letronik ini~moga-moga ada manfaatnya tidak pada yang lain mungkin pada diri ni..

Luar biasanya kali ini adalah keseluruhan Ramadhanku dimaknakan di rumah~bersama keluarga sudah semestinya~inilah Ramadhan pertama sejak bergelar pelajar lepasan sekolah yang aku maknakan di sisi keluarga keseluruhannya~alhamdulillah oleh itu suka utk menayangkan sedikit aktiviti yang aku lakukan hari ni~haha~~~

senang bicara tak perlu dibicarakan~nah nak tunjuk ini~~puroosely utk memancing adik2 pulang segera ke rumah~(kakyong nak pergi arkedman~cepat balik!)


Kenal tak ni? haha~ayah dah prepare those bottles for the coming syawal but indeed some of its seals broken already~naseblah kome~~

Rempeyek ni nampak 'tawar' kan~sebab kaler~tapi ce rasa~~~haha~kakyong dah lesapkan dua keping~~

Ni~takkan tak kenal~ kuih patut ada tiap tahun~sebab: benda sikit boleh jadi banyak cukup utk smua adik bradik yang ramai~haha~~~kome takleh bawa banyak sangat ni~kos kakyong dah tempah bawa penang~

lagi~actually aritu kakyong goreng dia macam lembut sikit tau~kos angkat bfore it become to golden~but just now this morning ibu baked lagi dalam oven~so yang jadikan ia hebat~adalah ia dimasak DUA KALI!!!

Nampak macam tak sedap~ni kakyong lah yang mengacunye~tetiba jadi kembang lepas baked~officially belum rasa kos baru siap tadi pagi~ t da rasa i'll inform you~~haha

Specially doh ni kos ibu campur ngan tepung kacang hijau dan plus choc rice~rasa? Waallahua'lam~

Haa~~engkau~~~amik~~~

Oh lupa nak bagi nama~jap ini namanya~Rama-rama langit Ilahi~~~haha~terbang2~

Bendanya kaler blue~heaven~doh dia agak lembik tapi alhamdulillah jadik~susah nak acu jadi rerama~but practice do make perfect~haha~~~

Wah~~~menarik tak sabar nak rasa~ni bukan kuih suji tau~kos ia adalah kombinasi doh yang beda~haha~ia dinamakan~~ Bumi Salji (Ibu prefer to call it kuih globe, tapi glamor sangat plak..hehe)

Rasanya sedap~nanti nak rasa lah nyum2~~

batch rerama keluar dari kepompong~~ramai kan~eh banyak kan? lau add rasa pudina mesti enak~~tapi nanti rasa ubat gigi pulak~tamau la makan ubat gigi raya ni kan?


Well tulah~dia all those benda yang kayong nak tunjuk pada kamu adik2 kakyong~actually rindu sangat kat kome~belajar la leklok~and pulanglah berhari raya~kerana kakyong mau ke Arkedman~~haha~~~

Simple but no pimple~~

InsyaAllah berbaki lagi 5 hari ramadhan ni~nak buang macam tu je? NO!!! Manfaatkannya people~~~I do love you~thats why i want to ajak you to Allah~~~

Jangan marah ana sebab sayang antum~benda bukan boleh rancang~~~

Assalamualaikum~

Wednesday, August 17, 2011

Unit Desa, Unit Jannah




Tajuk entry ini mungkin merupakan sesuatu yang amat familiar kepada para siswa USM.

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh~

Unit Desa.

Satu klausa yang ringkas tapi amat berkuasa. Ia membuatkan hampir 85% pelajar tak senang duduk tanpa mempedulikannya. Begitu digeruni pelajar freshie dan begitu dibosani oleh para murobbi~hehe.

Berbicara mengenai unit desa. Bagi mereka yang tidak menuntut di USM, suka untuk ana menjelaskan serba sedikit berkenaan unit desa ni. Ia umpama kutipan mata yang diperolehi setiap kali seorang siswa yang menetap di desasiswa(baca:asrama) menyertai sebarang aktiviti yang dianjurkan atau diiktraf oleh pihak Majlis Perwakilan Desasiswa di USM. Mengikut sumber yang ramai percaya, dengan menggunakan kiraan Unit Desa inilah sesuatu keputusan samada seseorang siswa kekal mendapat tawaran desasiswa dibuat atau diputuskan.



Dan kerana itu, ramai siswa yang berebut-rebut mengumpul unit desa kerana tersibghah dengan fakta tersebut.

Ana memuji sistem ini. Hebat. Kerana boleh dianalogikan.

Baiklah seperti yang mungkin dapat digambarkan oleh ramai pembaca di luar kaca tingkap, Unit Desa hanya diperolehi setelah penyertaan terhadap satu-satu aktiviti yang dianjurkan. Matlamatnya tunggal iaitu untuk menempatkan diri di desasiswa untuk sidang yang seterusnya. Bagi mereka yang menyertai sendiri Majlis Perwakilan Desasiswa, extra Unit Desa yang dikreditkan memungkinkan mereka memilih sendiri Bilik dan Rakan Sebilik yang mereka hajati.

Sesiapa yang kurang penyertaan mereka, akan kuranglah unit desa dan berkuranglah kemungkinan mendapatkan tempat di desasiswa untuk sidang akademik yang akan datang. Ini satu sifir yang mudah.

Ayuh kita berfikir ke arah sesuatu yang hampir sama realistiknya.

Bayangkan Unit Desa itu merupakan Unit Jannah. Konsepnya serupa, maknanya lebih giga.

Unit Jannah.

Unit Jannah dikumpulkan khas untuk menempatkan diri di Jannah(baca:syurga Allah). Unit Jannah ini boleh diperolehi melalui aktiviti-aktiviti dunia yang digariskan oleh Majlis Amal Makruf Nahi Mungkar yang dikelolakan oleh malaikat Raqib dan Atid.

Aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan Unit Jannah ini sangat luas skopnya, ia termasuklah, ibadah, ibadah dan ibadah. Yakni berbuat selaku hamba. Abid.

Solat kerana Allah, Puasa kerana Allah, Belajar kerana Allah, Berjalan kerana Allah, Cinta kerana Allah, Benci kerana Allah, Berkawan kerana Allah, Berkata-kata kerana Allah, Bangun tidur kerana Allah hatta Menyikat Rambut kerana Allah juga boleh memungkinkan kita selaku siswa Universiti Terbuka Dunia memperolehi Unit Jannah ini.

Sifirnya juga mudah. Lakukan ibadah kerana Allah. Dapatkan Unit Jannah. Dan kemungkinan untuk ditempatkan di Jannah-jannah pilihan adalah tinggi. Bagi mereka yang merupakan Ahli Ibadah yang Berilmu lagi Beramal, ekstra Unit Jannah yang dikreditkan memungkinkan anda untuk memilih sendiri Jannah yang anda hajati bahkan boleh bersama dengan orang yang anda cintai! Hebat bukan??

Begitu juga jika semakin kurang aktiviti, maka semakin kuranglah Unit Jannah dan semakin tipislah peluang kita untuk menempatkan diri di syurga Allah.

Mudah bukan? Ana mencintai sistem yang diimplementasi ini kerana ia mirip kepada sistem pahaladosa dalam Islam. Ana yang memiripkannya.

(^________________________^)

Kembali kepada Unit Desa tadi. Sekiranya siswa gagal menempatkan diri di mana-mana desasiswa di USM, maka terpaksalah menyewa di rumah-rumah sewa di sekitar kampus. Dan mendaftar sebagai warga PETAS(Pelajar Tanpa Asrama). Sekurang-kurangnya ada alternatif lain, bukan?

Tapi, jika dari segi Unit Jannah, kegagalan menempatkan diri di salah satu Jannah Allah hanya memungkinkan kita untuk ke satu tempat sahaja dan tiada secubitpun kesejahteraan yang menanti kita di sana. Sebuah tempat yang dibenci ramai orang tapi ramai juga yang berusaha menempahnya.

Tahulah bahawa tiada tempat kembali melainkan dua ini. Jadi ayuh kita gencarkan penyertaan ke dalam aktiviti-aktiviti yang memungkinkan kita memperolehi Unit Jannah sebanyak-banyaknya. Ayuh, jadi mahasiswa aktif dan gapailah setiap peluang yang ada. Ini merupakan kuasa mahasiswa~Bijak kita bijak pada tempatnya.



Pengemis Di Jalan Ilah Melaporkan Untuk Buletin Semasa TV Al-Hijrah, Assalamualaikum.

Tol: Ana secara peribadi setakat diingat tak pernah lagi join segala Aerobik ataupun gotong royong hatta Jamuan Hari Raya yang dianjurkan oleh MPDR untuk mendapatkan Unit Desa. Masa dan keadaan tidak memungkinkannya. Moga Allah meredhakan penyertaan ana di tahun akhir ni, mana tahu di sana dapat bertemu dengan orang-orang yang lebih berminat terhadap Unit Jannah? Siapa tahu? Peluang dakwah tu ada di mana-mana bukan? Dan ana masih lagi merupakan Siswa di Desasiswa walaupun tanpa Unit Desa. Jeng3~

Hari Nota Cinta Diturunkan~


Kiranya Mampu Ku Ungkap~

Sekiranya mampu kuungkap Tuhan,

Bahawa hati ini sering merindu,

Aku lelah dalam keterpaksaan jiwa,

merunduk jatuh kepada nafsu,

Aku sakit dihujam panah,

Cinta terhadap selainMu,

Aku jenuh menjadi hamba pada segala ciptaanMu,

yang tidak memahami aku,

Aku rindu padaMu Tuhan yang Menciptakan aku.



Sekiranya mampu kuungkap Tuhan,

Bait-bait yang terangkai di qalbuku,

Bahawa aku rindu untuk bertemuMu,

Menjalin kasih hamba pada Penciptanya,

Bertemu bicara meluah rasa,

yang tidak bisa difahami oleh bahasa dunia.


Sekiranya mampu kuungkap Tuhan,

Bahawa aku ingin kembali,

Meniti kasih yang azali,

yang lahir bersamaku ke dunia ini,

Aku mahu kasih yang sama mengiringiku kelak,

Aku mahu kasih yang sama menaungiku kelak.



Tuhan, andai mampu kuungkap,

hambaMu ini kotor,

Layaknya di jurang neraka tapi tidak mampu untuk masuk ke dalamnya.



Tuhan, andai mampu kuungkap dan kuberharap,

Ambillah aku kembali ke sisimu,

dalam keadaan penuh suci lagi berserah diri Tuhan,

pandanglah aku, kembalikanlah aku kepada Fitrah seorang hamba.

~Bintun Nasr-17 Ramadhan 1432H@17 Ogos 2011.

Nota Cinta

Album : Nota Cinta
Munsyid : Saujana
http://liriknasyid.com


Andainya dapatku menulis
Nota-nota cinta buat diri-Nya
Ingin ku titipkan bersama
Semua kuntuman bunga
Yang indah berseri

Ku sembur haruman mewangi
Bersama kata-kata puji
Sedang Dia tahu kasih dan cintanya aku
Menjalin ikatan menuju ke Syurga

Cintaku kepada Dia
Rinduku hanya pada-Nya
Kasihku tulus buat-Nya
Setiaku balas kasih-Nya
Kasihku kasih yang setia
Pada yang punya

Dambaku pada Yang Esa
Pujian hanya buat-nya
Akurku kebesaran-Nya
Teragung Maha Suci-Nya
Taatku hamba yang hina
Pada Pencipta

Kiranya aku hilang arah
Jalan hidupku berubah punah
Namun kasih-Nya tak pernah akan musnah
Belas rahmat-Nya terus mencurah-curah
Nur Hidayah-Nya semakin cerah

Sunday, August 14, 2011

Nyamuk Dan Lampu



+Yong, dalam bus tu kalau tak ramai orang, duduk kat depan, jangan duduk belakang-belakang sangat.
- Hm, tempat duduk penuh bu~Alhamdulillah ramai, rasanya semua student. Nak balik UTP kot depa ni.
+ Tapah tu nanti dia berhenti arah Utara ke Selatan?
-Hm, entahlah nanti bila bus berhenti ke, kakyong tanyakan.
+Nanti dah nak dekat sampai jangan tertidur yong.
-InsyaAllah..(^__^)

Hm, perjalanan pulang ke desa yang dirindui. Tamat sudah LI (baca:Latihan Industri) ku di Terengganu. Selama dua bulan menangguk ilmu di sana, sampai sudah masanya untuk seraut sireh pulang ke gagangnya. Dan, sireh itu, akulah.

SP Bumi. Bus yang aku naiki ini, jalannya jauh..Akan merentasi, Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur, dan destinasi akhirnya Ipoh, Perak. Perjalananku hanya akan tamat bukan di hujung destinasi, kerana aku dijadualkan turun di Tapah.

Setelah beberapa situasi yang agak mendebarkan. Nah, aku kini di sini. Di depan Restoran KFC yang belum memulakan waktu niaga di tengah pekan mati, Tapah, yang amat asing bagiku. Aku tak kenal pekan ni, Teluk Intan pun belum taaruf habis. Maklumlah anak rantau jarang pulang.

Kereta ibu sampai dan aku lega.

Sesudah meregangkan badan usai turun dari kereta dan melilau-lilau melihat jika ada sebarang perubahan kepada rumah yang agak lama aku tinggalkan. Tibalah masa paling best iaitu untuk membentangkan 'Kertas Kerja' serta 'Hasil Dapatan Kajian' sepanjang pengalamanku di Terengganu. Usai menghadiri sesi 'mesyuarat' yang indah itu, mata terasa melekit ibarat digam-gam, justeru aku masuk untuk beradu.

Ceritanya bermula malam itu.

Aku masuk tidur dengan sedikit alpa. Terus sahaja aku melabuhkan ladungan tubuhku ke atas katil. Lampu telah dimatikan dan Siti telah lama nyenyak dahulu. Aku pun hampir belayar sehinggalah....nyiaaaamuk~~~nyiaaamuk~~~desup-desup berdesing-desing telingaku mendengarkan degungan nyamuk itu. Namun akibat terlalu malas maka aku gagahkan untuk terus melelapkan mata. Sehinggalah jam 2:45pagi.

Aku menyirap. Seingatku aku tidak terlelap langsung dari jam 11 tadi. Aku bingkas bangun dari katil dan memetik suis lampu. Aku lilaukan mata ke sekeliling kamar beradu tapiu aneh tidak kelihatan seekor nyamukpun yang berlegar-legar.

Aku lalu mengambil senjata ampuh yang digunakan untuk menyah nyamuk=Baygon.
Wangi sekejap bilikku. Dan aku sambung tidurku tanpa bangun qiam malam itu. Kerana tidak sedar.

Peristiwa semalam berulang lagi hari ini. Aku dengan pantas menyembur Baygon ke serata kawasan. Dan senyap.

Esoknya, aku persiapkan semburan Baygon sebelum masuk tidur. Aku malas untuk bangun berkali-kali hanya sekadar ingin mem'Baygon'.

Tapi, nampaknya dalam masa 3 hari nyamuk-nyamuk ini telah mencipta sistem imunisasi sendiri.

Aku bingkas bangun lagi dan memetik suis lampu. Hilang. Tiada seekor nyamukpun yang berkeliaran. Aku penasaran lalu aku matikan suis, belum sempat melabuhkan tubuh kembali, berdesup dengungan nyamuk di pinggir telingaku. Aku bukakan kembali suis lampu. Dan Hilang.

Nyamuk dan Lampu.

Itulah yang mendorongku menulis dinihari ini. Aku membuat satu eksperimen terhadap nyamuk ini. Selalunya nyamuk akan hadir dan menggila di tempat-tempat yang gelap dan terlindung dan akan pasif dalam keadaan terang bercahaya.

Sepertinya nyamuk ini merupakan entiti kegelapan pula. Haha.

Ukhti, bila keadaan menjadi gelap gelita, mudah-mudah sahaja badan kita menjadi mangsa bahaman sang nyamuk. Robek-robek liang kulit dibuat oleh sang nyamuk yang tidak berperikenyamukan ini.

Tapi, dalam keadaan terang, kemungkinan untuk digigit itu berkurang. Nyamuk-nyamuk ini kelihatannya mempunyai sivik yang tinggi ketika di bawah lampu.

Tidakkah kau memerhatikan?

Sebenarnya ukhti, tiada satu perkarapun yang terjadi dengan sia-sia. Hatta kisah nyamuk dan lampu pun merupakan salah satu wasilah Allah memperkenalkan kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya. Melalui peringatan.

Nyamuk hanya akan menggila dalam keadaan gelap tak bercahaya. Dalam keadaan ini tubuh kita berpotensi diganggu oleh nyamuk-nyamuk gila tersebut. Tetapi, cahaya yang hadir dapat menangkis atau sekurang-kurangnya melemahkan serangan nyamuk-nyamuk ini.

Begitu juga dengan diri kita.

Dalam keadaan hati yang dilumuri kegelapan, kegersangan spiritual, hati mudah sahaja digigit dan diganggu oleh gangguan jiwa. Dan satu-satunya perkara yang boleh melemahkan gangguan jiwa (baca:nyamuk) ini adalah dengan cahaya. Itulah yang Allah campakkan ke dalam hati-hati hambaNya yang terpilih.

Indah bukan? Iktibar dari seekor nyamuk.

Begitulah, hati kita akan lemah seperti lemahnya badan kita bila berhadapan dengan kegelapan. Kegelapan merupakan peruntun semangat jiwa dan juga jasad. kegelapan menjadikan kita berada di luar norma kebiasaan hinggakan kita mampu menyakiti diri kita dan diri orang lain. Bagaimana?

Ya, kita menyakiti diri kita dengan meng'hadiahkan' kunci neraka dengan beramal dengan perbuatan-perbuatan yang dilarang.

Jadi macam mana?

Carilah cahaya...seru takkan sampai jika kita statik di tempat kita berdiri ukhti. Jangan harapkan takdir mencarimu tapi carilah takdir. Cahaya itu Allah sisipkan pada rentak dan lipatan kehidupanmu, cari, atau suka ana memaksa, kejarlah cahaya itu.

Kenapa?

Kerana ana risau semakin lambat 'suis'cahaya itu ditekan, maka bertambah lukalah hati..Parahlah jiwa...Sakitnya ukhti..



Kejarlah cahaya...hanya cahaya yang mampu melemahkan gangguan jiwamu..

Dan cahaya itu adalah, Hidayah Allah.

Atok(Cerpen Ramadhan)

Atok (oleh Bintu Nasr)

“Atok…buat apa tu? Tidurlah Atok..Itam dah tidur pun..” tangannya mengagah misai kucing yang tengah nyenyak tidur, seronok dia bila si Itam menggerak-gerakkan mulut menepis dalam tidur.

Atok hanya tersenyum. Atok bangun sambil meluruskan pinggang. Pinggang Atok sakit. Lutut pun sakit. Atok ambil tudung saji dan Atok tudungkan lauk sahur di atas para. Lauk tak boleh diletak di atas lantai, nanti ada saja ‘tetamu’ yang menjamah dahulu sebelum sempat sahur.

“Sufi, bentang tikar tu elok-elok cu..Ni, dah ambil wudhu’ ke belum ni?” Atok memandang Sufi. Lalu Atok ke tingkap. Atok lepaskan tali rapia pengikat langsir guni. Sufi suka langsir guni, cantik. Langsir kat rumah mama tak seronok macam langsir guni. Langsir guni boleh digulung-gulung turun naik.

“Atok…ambilkan wudhu untuk Sufi ye? Sufi malaslah Atok…mengantuk ni ha..”Matanya dikecil-kecilkan memandang Atok, meminta difahami.

“Taknaklah, Atok pun malas juga. Malas nak tidur dengan orang takde wudhu’. Takut. Nanti bukan malaikat jadi kawan tidur..tapi…….”Atok mengacah.

“Atok..janganlah sebut benda takut tu..Atok ni..”

Atok senyum. Atok capai gores api dan Atok nyalakan lingkar ubat nyamuk. Atok letak lingkar ubat nyamuk pada piring. Atok pandang Sufi. Sufi tengah senyum.

“Kenapanya?” Atok tanya pada Sufi. Atok dah naik atas tikar. Tapi Atok bangun balik. Atok terlupa nak sumbat kain pada pintu dapur. Nanti katak boleh masuk. Ular pun boleh masuk. Atok pandang Sufi lagi.

“Pergi ambil wudhu’ Sufi..”Ujar Atok lagi. Atok buat-buat muka garang. Tapi Sufi kenal Atok. Atok takkan marah kalau Sufi tak buat salah.

“Sufi dah ambillah Atok..Atok, atok dah niat ke? Besok batal puasa, tak niat....”petah si kecil mengingatkan Atoknya. Kalau dulu, Atok yang selalu pesan pada Sufi, kini Sufi pula pesan pada Atok. Atok kata, kita kena selalu pesan-pesan sesama makhluk, kepada kebenaran dan kepada kesabaran. Jadi, Sufi suka pesan pada Atok, pesan pada Nisah, pada Badil, pada Cuki. Cuki pun makhluk juga. Sufi pesan, Cuki jangan makan banyak rumput, jangan makan bunga Alang Lebor, nanti Alang lebor tambat Cuki pada perdu nangka. Nanti Sufi tak dapat tarik Cuki ke gigi air kali. Tak seronok.

*

Atok lurut kepala dan rambut Sufi. Atok pangku Sufi ke riba. Sufi jatuhkan kepala kembali ke bantal lembek. Sufi kasihan pada Atok. Kepala Sufi berat. Atok senyum. Atok pangku lagi kepala Sufi. Sufi tak melawan. Atok kata, tidak mengapa. Kepala Sufi ubat sakit lutut Atok. Sufi tersengih.

Atok lurut rambut Sufi lagi. Atok senandung lagu dodoi. Sufi suka dengar Atok nyanyi. Tapi Sufi suka lagi kalau Atok mengaji. Tapi Sufi tak suka Atok mengajar Sufi mengaji. Atok pegang rotan bilah panjang. Bila Sufi salah, Atok libas rotan pada lantai rumah. Angin desup bekas libasan terbangkan tudung Sufi. Sufi jadi tergamam.

Sufi berkhayal. Esok Sufi akan ke rumah Nisah, Sufi nak tanya, Nisah dah sihat ke? Mak Nisah kata, Nisah demam. Nisah tak puasa. Bila Sufi naik bilik Nisah, Sufi nampak ada kuih cara dekat kepala Nisah. Sufi sedih. Nisah tak puasa. Badil kata, Nisah tak boleh puasa, Nisah tak larat. Bila Sufi balik rumah, Sufi cakap pada Atok, Sufi pun tak larat puasa. Atok senyum tapi Atok tarik Sufi ke riba Atok. Atok kata, orang sakit je takboleh puasa. Sufi kata Sufi pun sakit juga. Sebenarnya Sufi dah nampak putik jambu pokok belakang rumah Atok. Ada segugus putik dah jadi buah. Sufi terngiur.

“Tak baik pura-pura sakit..Nanti Allah bagi Sufi sakit macam mana? Kasihan Atok..”Atok pujuk Sufi. Sufi rasa penat. Sufi pun tidur atas riba Atok. Bila Sufi buka mata. Langit dah nak gelap. Sufi jadi suka, dah nak dekat berbuka. Sufi tengok dalam raga, ada jambu baru masak. Sufi tersenyum. Atok tersenyum.

Malam tu, Atok bergegas turun ke tanah. Atok bawa sumpit lusuh isi pelita. Tangan kanan Atok pegang botol minyak tanah. Sufi ikut Atok turun, Atok kata Sufi boleh turun sampai tangga je. Budak-budak tak elok cecah tanah malam-malam kata Atok. Nanti tak boleh tidur.

Sufi tengok Atok isi minyak dalam pelita. Lepas tu Atok capai gores api dan bakar sumbu pelita. Sufi tepuk tangan bila pelita menyala. Atok gantung pelita pada paku tepi tangga dan paku tepi tulang rumah. Rumah Atok jadi cantik. Sufi tengok rumah TokSu Limah dan rumah Tokngah Seman pun pasang pelita. Sufi tengok rumah Badil, Badil susun pelita pada kayu pacak sepanjang jalan masuk. Badil melambai pada Sufi. Nisah pun lambai pada Sufi. Sufi jadi seronok.

*

Sufi tengok Atok tengah jemur tepung gandum. Semalam Atok tumbuk kacang hijau. Atok buat tepung kacang hijau. Sufi tahu Atok nak buat apa, Atok nak buat kuih bahulu dan kuih bakar. Atok dah sikat pisang kat belakang pondok Atok. Sufi nampak Atok pandang-pandang perdu kelapa. Atok panggil Pakcik Amir, suruh ngopek kelapa. Atok nak kukur kelapa, nak masuk dalam kuih bakar.

Malam itu, mama dan abah datang. Sufi gembira sangat. Mama tolong Atok bakar kuih. Abah pula turun pasang pelita. Lepas tu abah panggil Sufi turun. Sufi tanya pada Atok, Atok izin Sufi turun tapi Atok kata ada syarat. Sufi kena berzikir. Sufi tahu zikir, Atok ajar Sufi zikir.

Abah belikan Sufi bunga api. Sufi jadi seronok sampai Sufi lupa zikir. Tiba-tiba Sufi nampak kelibat babi hutan tepi parit. Dia sondol pokok pisang Atok. Sufi takut. Sufi terus berzikir. Sufi tahu dia datang sebab Sufi seronok main tanpa zikir. Sufi jadi sedih.

Abah bakar jamung dan abah cucur api pada surat khabar. Abah baling pada pokok pisang. Babi hutan masuk hutan kembali. Abah kata babi hutan takut pada api. Sufi rasa dia takut pada zikir Sufi. Mama panggil naik. Bunga api Sufi balut dalam surat khabar. Abah kata kalau bunga api kena air, jadi basah lembab, tak seronok, sebab nanti tak boleh main dah. Dia tak mahu terbakar. Sufi simpan surat khabar dalam plastik lusuh. Sufi minta abah selit pada ambang pintu. Esok Sufi main lagi.

Mama tunjuk Sufi baju baru. Baju kurung untuk Sufi. Baju kurung untuk Atok. Mama beli sama warna. Mama beri kain batik dan tudung pada Atok. Sufi pun minta tudung juga. Mama kata Sufi kecil lagi, Sufi baru 5 tahun. Sufi tidur awal malam tu, penat main bunga api. Bila Sufi terjaga, belum dengar bacaan Quran lagi, Sufi tahu belum masuk waktu sahur. Sufi cepat-cepat kejut Atok. Sufi terkejut. Atok tidak tidur di atas tilam. Atok baring dekat almari tua atas tikar lusuh. Sufi bangun perlahan-lahan pergi pada Atok. Sufi pun nak tidur atas tikar. Sufi kejut Atok. Atok buka mata. Sufi cakap.

“Atok, dah niat ke?” Atok tersenyum dan Atok rangkul badan Sufi. Sufi tidur berbantal lengan Atok.

Kini, Sufi dah dewasa. Sudah berumur 21 tahun. Sufi ingat apa yang Atok buat sepanjang Ramadhan ketika Sufi berumur 5 tahun. Setiap kali Ramadhan, Sufi akan ingat yang Atok selalu bangun awal sebelum sahur, Atok qiam, lepas tu Atok baca Quran. Ketika itu, Sufi tahu Atok sedang bertilawah tapi Sufi terus tidur. Atok kejut Sufi bangun sahur bila imam kampung baca Al-Fatihah dan kemudiannya ayat-ayat suci Quran yang lain.

Sufi pernah tanya pada Atok. Kenapa Atok bangun awal, solat qiam, baca Quran lepas tu Atok selalu menangis. Sufi jadi resah bila Atok menangis. Ada satu malam Sufi bangun sebab Atok menangis. Bila Atok nampak Sufi, Atok tersenyum. Sufi nak pujuk Atok tapi Sufi tertidur pula. Bila Sufi tanya Atok balik kenapa Atok buat semua tu. Atok jawab.

“Untuk memaknakan Ramadhan” Bila Sufi diam, Atok ketawa. Sufi tak mahu tanya lagi sebab nanti Atok akan cakap, “Nanti bila Sufi dah besar, Sufi akan faham” Sufi tak suka. Sufi lambat lagi nak besar ketika itu.

Bila Sufi tanya, “Atok faham ke baca ayat Al-Quran tu tok?” Atok ketawa. Atok lalu bercerita pasal seorang lelaki yang menangguk air menggunakan raga. Sufi jadi faham. Walaupun kita tak faham bila baca Al-Quran, Atok kata sekurang-kurangnya, pembacaan itu boleh membersihkan hati kita. Macam menangguk air menggunakan raga, air memang tak terkumpul, tapi raga jadi bersih. Sufi suka dengar cerita Atok itu. Sufi jadi rajin membaca muqaddam. Sufi dah hafal Al-Fatihah sampai Surah Al-A’diyat dalam muqaddam. Sampai sekarang, Sufi dah besar, ayat-ayat tu lazim Sufi bacakan dalam solat. Sufi juga menghafal Juz 28,29 dan 30 dari kandungan Al-Quran. Atok yang ajar Sufi menghafal.

*

“Sufiah, hang bila balik?” Sufi pandang Hazirah. Sufi jadi lupa pada Atok. Sufi senyum pada Hazirah.

“InsyaAllah esok. Hang, zirah. Bila balik?” Sufi bertanya kembali.

“Aku lambat lagi. Tiket aku lambat wei. Malam ghaya kot aku boleh jejak kampung laman. Haru..” Ujarnya sambil berseloroh. Hazirah hanya berseloroh.

Hakikatnya, Ramadhan baru menjelma. Sufi bakal balik ke kampung Atok. Sekarang Atok dah tak pakai langsir guni lagi. Rumah Atok dah jadi rumah bawah. Mama yang buatkan. Sufi rindukan Atok. Sufi tahu Atok akan buat Kuih Bakar, Bahulu dan kerepek pisang lagi tahun ni.

Tapi Sufi bersemangat nak balik hanya sebab satu perkara. Untuk memaknakan ramadhan bersama-sama Atok. Sekarang Sufi faham apa yang dimaksudkan Atok dengan ‘menjadikan ramadhan ber-roh’.

Sufi cuma ingin berpesan, Ramadhan yang bakal datang ini, haruslah dimaknai dengan melebihkan ibadah dengan ikhlas kerana Allah. Ramadhan merupakan madrasah taqwa bagi insan yang ingin menyucikan dirinya. Di dalamnya terkandung seribu satu rahmat yang tak terhitung nikmatnya. Jangan terlalu mengejar Lailatul Qadar, bimbang terbazir hari yang lainnya. Beribadahlah sepenuhnya di bulan ramadhan itu.

Kerana, Atok Sufi pernah berpesan, beribadahlah seperti inilah Ramadhan terakhir kita, kerana, bimbang-bimbang, mungkin benar inilah Ramadhan terakhir kita di dunia.

>Bintu Nasr (20 Sya’ban 1432H @ 22 July 2011 : 2:32AM)

Nota kaki: Ana memaknakan situasi ini hanyalah untuk merekayasa, intinya mungkin tidak terlalu ketara Cuma sekadar berkongsi ingatan, cara kita menymbut Ramadhan dulu dan kini mungkin berbeza. Di situlah terletaknya manis pengalaman. Inspirasi cerpen ‘gigi sulung’ ini ana perolehi semestinya berkat hidayah Allah s.w.t namun patinya terletak pada ingatan tulus ikhlas buat kedua almarhumah nenda ana. Al-Fatihah buat Almarhumah kedua nendaku Hajah Bidayah bt Abdul Hamid (Julai 2011) dan Ainon bt Mohamed (Januari 2009). Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Friday, August 12, 2011

Aku Dan Cahaya.


Kau membentangkan hamparan solatmu. Kau qiam sementara lalu bergemalah takbir di bibir lemahmu. Kau mendendang Iftitah bersahaja, selajunya kau memuqadimahkan Fatihah. Lalu setelah sebuah surah lazim yang kau baca laju-laju, kau lalu ruku’. Sami’Allahu liman hamidah. Tiba-tiba, keadaan menjadi sangat asing. Sangat asing.

Kau terpinga-pinga. Untung sahaja solatmu tidak batal. Tapi tetap kau masih terpinga-pinga. Sujudmu tangguh. Kerana kau masih terpinga-pinga. Apakah ini?

Di hadapanmu terbentang selautan yang amat aneh. Kau tidak pasti ombak apakah itu. Di pantai manakah kau berada. Tiba-tiba ombak itu beralun serentak. Sekali lagi kau terpana. Ya Allah, apakah ini? Dan kau masih dalam I’tidal.

Di hadapanmu berbaris beribu-ribu umat yang baru saja bangun dari sujud. Mereka tenang di antara dua sujud. Kau cepat-cepat memuqadimahkan sujudmu yang tertangguh. Entah mengapa. Kau bangun dari sujudmu yang pertama. Aneh. Cahaya apakah ini? Lautan manusia di hadapanmu tadi sedang enak mencium tanah tanpa berkutik sedikitpun. Aneh. Ada cahaya yang mengelilingi setiap daripada mereka. Ada yang sangat terang benderang, yang silau menyilau, ada yang sederhana tapi yang berlatar dekatmu itulah yang paling malap. Ya yang paling malap.

Di kananmu terdapat sebuah menara. Baru kau sedar itu. Menara itu terbuat daripada kaca. Aneh sekali rupanya. Menara itu punya pasir halus di dalamnya, sangat halus. Pasir di bahagian atas menara yang terbahagi dua dan dipisahkan lurah sempit lagi halus lebih sedikit dari yang terdapat di bahagian bawahnya. Selayaknya kau mengenal menara itu sebagai jam pasir. Ya jam pasir. Dan pasiran yang sangat halus itu terus menerus turun. Perasaanmu menjadi tidak enak. Kau merasa amat tergesa-gesa.

Kau lalu menyudahkan rakaat keduamu sepantasmu. Sedang insan-insan disekelilingmu masih ralit. Ralit di dalam qiam mereka. Kau menjadi takzim. Kerana apa yang kau dapati adalah cahaya-cahaya yang menyinari setiap dari mereka kini sekata. Kesemuanya terang bercahaya menyilau mata. Hanya yang berkitar dekatmu yang paling malap. Yang paling malap. Kau tolehkan kepalamu ke kanan, dan kau tolehkan ke kiri. Mengucap salam. Hilang. Lautan dan ombak insan tadi hilang. Kau terpana seketika, apakah itu?

Subuhmu usai sudah. Matamu terasa amat berat lalu kau dodoikannya dengan hawa subuh yang nyaman. Begitu sahaja.

Zuhur itu, kau berbuat seperti biasa. Selepas qiammu kau lalu ruku’ dalam lupa. Saat kau mengangkat I’tidalmu, sekali lagi kau terpana. Apakah ini? Kau menjadi sangat marah. Sekali lagi kau berada dalam lautan manusia yang sedang ralit beribadah. Mereka dengan jelas sedang sujud. Kau menjadi tidak puas hati kerana cahayamulah yang paling malap sekali. Entah bila kau segera menyamakan solatmu dengan mereka. Engkau sujud dan tidak bangun selagi mereka tidak bangun. Sujudmu terasa begitu lama. Lama sekali. Hinggalah kau merasa begitu nyaman ketika bangun dari sujud. Aliran di jantungmu terasa begitu pantas dan deras, kau merasa pembuluh darahmu lancar tak berhalangan, ah persetankan semua itu. Kerana tumpuanmu sekarang adalah cahayamu. Cahayamu masih yang paling malap di situ. Kau berusaha. Berusaha sekeras-kerasnya, bagi menerangkan lagi cahayamu. Kau ruku’ dan kau sujud sekeras-kerasnya demi menerangkan cahaya itu. Kau begitu menjaga setiap bacaan dalam solatmu, kau begitu menjaga setiap toma’ninah dan tertibmu. Tapi tetap, cahayamulah yang paling malap. Ia semakin terang, tetapi cahaya mereka lebih terang. Kau jadi cemburu. Kau selarikan salammu dengan mereka. Dan hilang.

Kau gelisah. Serasanya terlalu lambat masa berjalan. Asar terasa amat jauh. Kau bertekad bahawa kau akan berbuat sehabis baik untuk Asarmu. Moga cahayamu seterang mereka.

Kau hamparkan sejadahmu setelah kau selesakan hawa di kamarmu. Setelah ruku’, sekali lagi kau bersama mereka. Senyum bersabit di bibirmu. Nantikan, kau akan kalahkan cahaya mereka itu. Kau menjaga setiap rukun dalam solatmu, bacaanmu tartil, tingkahmu tertib, segala toma’ninah sekalipun ketepatan ruku’mu telah kau teliti. Cahayamu menjadi semakin terang. Kau merasa senang. Kau merasa tidak lama lagi cahayamu akan menjadi yang paling terang. Lihatlah kalian, aku akan mengalahkan kalian. Lihatlah cahayaku. Tiba-tiba belum sahaja ruku’mu yang keempat, cahayamu malap sama sekali. Kau hilang segalanya, kau menjadi sebak, cahayamu telah tiada. Kaulah yang paling hitam antara mereka. Kau menangis semahunya di sujud akhirmu. Salammu yang paling telat. Yang kau tahu setelah salam pertamamu, insan-insan tadi telah hilang terlebih dahulu. Tinggal kamu tanpa cahaya.

Kali ini, kau merendahkan hatimu serendah-rendahnya. Lebih rendah dari tanah tempat kau berdiri. Kali ini, kau memenuhkan dadamu dengan sebak yang melimpah. Tinggal tabir yang tertutup menghalangnya dari meruah. Kau bersedia dengan Takbiratul Ihrammu. Kali ini kau merasa sangat kerdil. Aneh. Situasi itu terjadi lebih awal. Baru sahaja kau menjatuhkan takbirmu, kau tertarik ke alam itu. Kau malas untuk memikirkan kerana kaulah yang paling malap. Jam pasir di depanmu itu sudah terbalik porsinya. Yang bawah mengatasi yang atas. Secara tuntas kau tahu bahawa masa semakin suntuk. Kau secara automatiknya memahami bahawa itulah jam masamu. Desup pasir itu terasa begitu laju. Tapi kau malas untuk mengendahkannya. Kerana kaulah yang paling malap. Kali ini, tidak kau hiraukan sesiapa. Kau sempurnakan solatmu mengikut hatimu. Kau letakkan dirimu satu-satunya. Satu-satunya. Usai salam, kau menoleh sekeliling, sungguh kau terasa ingin tersenyum tapi tiba-tiba menangis. Dan cahayamu yang tiba-tiba menjadi benderang menjadi lebih terang. Ye, kau sedar bahawa riakmulah yang memadamkan cahayamu sebentar tadi. Dan kerana itu kau menangis.

Cahayamu sangat terang, sangat terang. Tapi terang lagi cahaya insan-insan yang masih dalam sujud di hadapanmu. Kau merasa tidak mahu mengendahkan mereka kerana khuatir cahayamu akan malap jika melintas sebarang fikiran di benakmu. Tapi mindamu tidak mampu dihalang. Tetap juga kau berfikir. Mereka masih ralit dalam sujud, sedangkan kau setelah salam masih di sini. Ya, kau merasa aneh, tapi kau tahu tentu ada sesuatu. Jam pasir masih berdesup. Dan kau masih memerhati. Kau aneh, antara dirimu dan diri mereka. Kau menoleh ke kanan dan ke kirimu. Di saf tempat kau bersimpuh hanya kau sahaja di situ. Sedang insan-insan di hadapanmu berbaris rapat-rapat sehingga sukar kau melihat susuk di hadapan barisan depanmu itu. Kau tersedut kembali ke alam nyata.

Di hamparan yang kau lemparkan sebentar tadi, kau masih berteleku. Kau diam, tanpa mengisi senggang Maghribmu. Monologmu: “Ya Tuhanku, mereka itu berlumba-lumba denganku dalam mencari pandanganMu. Semestinya mereka itu yang lebih Kau pandang kerana terangnya cahaya mereka. Ya Tuhanku, aku ini kusam di hadapanMu, masakan bisa aku bersaing dengan mereka ya Allah. Ya Tuhanku, mengapa kau sisihkan cahayaku dari PenglihatanMu ya Allah, ya Tuhanku, apakah yang harus aku lakukan bagi merebut cahaya itu? Rezekikan hikmah kepadaku ya Allah. Rezekikanlah ya Allah.”

Lamunmu terhenti. Sayup-sayup terdengar bacaan Tilawah dari musolla taman perumahanmu. Kau lalu bingkas untuk memperbaharui wudu’mu. Kerana kau ingin merebut sehabis daya dengan insan tadi. Supaya kau menjadi yang paling terang dalam pandangan Tuhanmu. Kau meratakan wudu’ di setiap anggota wudu’mu. Kau telusi wudu’mu tanpa jeda. Hinggalah hikmah sampai ke benakmu. Kau terkersip tapi tidak lama. Tidak lama.

Kau bingkas ke kamarmu, lalu kau capai kopiahmu. Hamparan yang terhampar di permaidani kamarmu kau pandang sekilas lalu kau hampirinya. Kau tahu. Kau tahu. Hampar itu kau lipat dan kau keluar. Keluar dari rumahmu. Menuju musolla itu.

Kau berada dalam saf. Setelah kau menyapa teman kiri dan kananmu, setelah kau meniatkan Isya’ di hatimu, dan setelah kau mengangkat Takbiratul Ihrammu, kau kembali ke sana.

Jam itu masih berdesup. Dan bahagian atasnya sangat tipis. Pasirnya dikit. Tapi kau tidak hiraukan itu. Kerana takjubnya engkau yang kau kini berada di tengah insan-insan yang kau lihat dari balakang maghrib tadi. Kau telah berada dalam lautan kalangan mereka. Cuma cahayamu belum seterang itu. Kau tekad untuk merebut pandangan Tuhanmu, lalu kau perhalusi setiap inci solatmu. Kau berihsan bahawa Tuhanmu berada di hadapanmu, sehingga solatmu menjadi begitu tawaduk oleh akibat kau malu mengangkat muka di hadapan Tuhanmu. Kau mengikut langkah orang yang mengimamkanmu. Kau sedar bahawa kau mengikutnya tapi tidak kau peduli akan perkara lainnya. Kau terus ralit dalam ibadahmu. Dan tanpa kau sedari,kau menjadi sangat putih. Sangat putih. Tanpa kau sedari.

Tiba-tiba kau merasa Dilihat. Tapi kau malu mengangkat wajahmu. Kau risau bahwa rasa dibenakmu mungkin merupakan riak lalu terus kau perhalusi solatmu tanpa menghiraukannya. Dan kau menjadi sangat putih. Sangat putih.

Imammu memberi salam. Dan kau menyambutnya juga dengan salam penghabisan solatmu. Jam pasir di hadapanmu telah kosong bahagian atasnya. Kau pucat tapi cahayamu paling terang. Mengapa? Telah habiskah waktu?

Jam itu tertonggeng dengan sendirinya. Dan masa kembali berlari.

Kau tersedut keluar dari mimpi. Yang bukan mimpi. Di hadapanmu orang itu, begitu juga di kiri kananmu. Merekalah insan yang kau lihat dalam safmu sebentar tadi. Kau lalu berdoa: “Ya Allah, pandanglah daku, pandanglah daku”. Kau telah temui cahayamu yang paling terang dalam jamaah menghadapNya. Kini telah sampai hikmah ke benakmu.

Masa yang berlalu terasa begitu panjang. Untuk kau kembali mengukir cahaya di depan Tuhanmu. Ya, masa telah berlari dan nanti kau kan ketemu dengan subuhmu jika Tuhanmu menginginkan. Tapi, kau terasa masa begitu kosong. Lalu kau niatkan sunat menghadap Tuhanmu. Takbiratul Ihram kau angkat lagi. Kali ini kau berseorangan. Tiada saf depan, kiri dan kananmu. Kaulah cahaya di situ. Kaulah yang paling terang dan tiada yang menandingimu. Kau tersenyum kemudian menangis tapi cahayamu malah semakin terang. Kau arif bahawa ini bukanlah waktunya. Dan kau arif bahawa ketika inilah kurang persaingan buatmu. Tapi kau arif bahawa selamanya kau kerdil. Lalu dalam Qiamullailmu, kau memuji-muji Tuhanmu. Tidak kau pedulikan cahaya itu kerana kaulah satu-satunya di situ. Dan kau tahu Tuhanmu melihatmu.


Tol: Solat itu dinilai di sisi Tuhan. Ketahuilah bahawa dengan solat berjemaah akan bergandalah pahala amalan. Riak membunuh pahala amalan, merosak niat, memudarkan cahayamu di hadapan Tuhan. Dan tahulah bahawa solat sunat itu merupakan bonus bagi hamba-hambaNya yang benar mengharapkan keredhaan Tuhan mereka.-Saif Fissabil.