Sunday, August 14, 2011

Atok(Cerpen Ramadhan)

Atok (oleh Bintu Nasr)

“Atok…buat apa tu? Tidurlah Atok..Itam dah tidur pun..” tangannya mengagah misai kucing yang tengah nyenyak tidur, seronok dia bila si Itam menggerak-gerakkan mulut menepis dalam tidur.

Atok hanya tersenyum. Atok bangun sambil meluruskan pinggang. Pinggang Atok sakit. Lutut pun sakit. Atok ambil tudung saji dan Atok tudungkan lauk sahur di atas para. Lauk tak boleh diletak di atas lantai, nanti ada saja ‘tetamu’ yang menjamah dahulu sebelum sempat sahur.

“Sufi, bentang tikar tu elok-elok cu..Ni, dah ambil wudhu’ ke belum ni?” Atok memandang Sufi. Lalu Atok ke tingkap. Atok lepaskan tali rapia pengikat langsir guni. Sufi suka langsir guni, cantik. Langsir kat rumah mama tak seronok macam langsir guni. Langsir guni boleh digulung-gulung turun naik.

“Atok…ambilkan wudhu untuk Sufi ye? Sufi malaslah Atok…mengantuk ni ha..”Matanya dikecil-kecilkan memandang Atok, meminta difahami.

“Taknaklah, Atok pun malas juga. Malas nak tidur dengan orang takde wudhu’. Takut. Nanti bukan malaikat jadi kawan tidur..tapi…….”Atok mengacah.

“Atok..janganlah sebut benda takut tu..Atok ni..”

Atok senyum. Atok capai gores api dan Atok nyalakan lingkar ubat nyamuk. Atok letak lingkar ubat nyamuk pada piring. Atok pandang Sufi. Sufi tengah senyum.

“Kenapanya?” Atok tanya pada Sufi. Atok dah naik atas tikar. Tapi Atok bangun balik. Atok terlupa nak sumbat kain pada pintu dapur. Nanti katak boleh masuk. Ular pun boleh masuk. Atok pandang Sufi lagi.

“Pergi ambil wudhu’ Sufi..”Ujar Atok lagi. Atok buat-buat muka garang. Tapi Sufi kenal Atok. Atok takkan marah kalau Sufi tak buat salah.

“Sufi dah ambillah Atok..Atok, atok dah niat ke? Besok batal puasa, tak niat....”petah si kecil mengingatkan Atoknya. Kalau dulu, Atok yang selalu pesan pada Sufi, kini Sufi pula pesan pada Atok. Atok kata, kita kena selalu pesan-pesan sesama makhluk, kepada kebenaran dan kepada kesabaran. Jadi, Sufi suka pesan pada Atok, pesan pada Nisah, pada Badil, pada Cuki. Cuki pun makhluk juga. Sufi pesan, Cuki jangan makan banyak rumput, jangan makan bunga Alang Lebor, nanti Alang lebor tambat Cuki pada perdu nangka. Nanti Sufi tak dapat tarik Cuki ke gigi air kali. Tak seronok.

*

Atok lurut kepala dan rambut Sufi. Atok pangku Sufi ke riba. Sufi jatuhkan kepala kembali ke bantal lembek. Sufi kasihan pada Atok. Kepala Sufi berat. Atok senyum. Atok pangku lagi kepala Sufi. Sufi tak melawan. Atok kata, tidak mengapa. Kepala Sufi ubat sakit lutut Atok. Sufi tersengih.

Atok lurut rambut Sufi lagi. Atok senandung lagu dodoi. Sufi suka dengar Atok nyanyi. Tapi Sufi suka lagi kalau Atok mengaji. Tapi Sufi tak suka Atok mengajar Sufi mengaji. Atok pegang rotan bilah panjang. Bila Sufi salah, Atok libas rotan pada lantai rumah. Angin desup bekas libasan terbangkan tudung Sufi. Sufi jadi tergamam.

Sufi berkhayal. Esok Sufi akan ke rumah Nisah, Sufi nak tanya, Nisah dah sihat ke? Mak Nisah kata, Nisah demam. Nisah tak puasa. Bila Sufi naik bilik Nisah, Sufi nampak ada kuih cara dekat kepala Nisah. Sufi sedih. Nisah tak puasa. Badil kata, Nisah tak boleh puasa, Nisah tak larat. Bila Sufi balik rumah, Sufi cakap pada Atok, Sufi pun tak larat puasa. Atok senyum tapi Atok tarik Sufi ke riba Atok. Atok kata, orang sakit je takboleh puasa. Sufi kata Sufi pun sakit juga. Sebenarnya Sufi dah nampak putik jambu pokok belakang rumah Atok. Ada segugus putik dah jadi buah. Sufi terngiur.

“Tak baik pura-pura sakit..Nanti Allah bagi Sufi sakit macam mana? Kasihan Atok..”Atok pujuk Sufi. Sufi rasa penat. Sufi pun tidur atas riba Atok. Bila Sufi buka mata. Langit dah nak gelap. Sufi jadi suka, dah nak dekat berbuka. Sufi tengok dalam raga, ada jambu baru masak. Sufi tersenyum. Atok tersenyum.

Malam tu, Atok bergegas turun ke tanah. Atok bawa sumpit lusuh isi pelita. Tangan kanan Atok pegang botol minyak tanah. Sufi ikut Atok turun, Atok kata Sufi boleh turun sampai tangga je. Budak-budak tak elok cecah tanah malam-malam kata Atok. Nanti tak boleh tidur.

Sufi tengok Atok isi minyak dalam pelita. Lepas tu Atok capai gores api dan bakar sumbu pelita. Sufi tepuk tangan bila pelita menyala. Atok gantung pelita pada paku tepi tangga dan paku tepi tulang rumah. Rumah Atok jadi cantik. Sufi tengok rumah TokSu Limah dan rumah Tokngah Seman pun pasang pelita. Sufi tengok rumah Badil, Badil susun pelita pada kayu pacak sepanjang jalan masuk. Badil melambai pada Sufi. Nisah pun lambai pada Sufi. Sufi jadi seronok.

*

Sufi tengok Atok tengah jemur tepung gandum. Semalam Atok tumbuk kacang hijau. Atok buat tepung kacang hijau. Sufi tahu Atok nak buat apa, Atok nak buat kuih bahulu dan kuih bakar. Atok dah sikat pisang kat belakang pondok Atok. Sufi nampak Atok pandang-pandang perdu kelapa. Atok panggil Pakcik Amir, suruh ngopek kelapa. Atok nak kukur kelapa, nak masuk dalam kuih bakar.

Malam itu, mama dan abah datang. Sufi gembira sangat. Mama tolong Atok bakar kuih. Abah pula turun pasang pelita. Lepas tu abah panggil Sufi turun. Sufi tanya pada Atok, Atok izin Sufi turun tapi Atok kata ada syarat. Sufi kena berzikir. Sufi tahu zikir, Atok ajar Sufi zikir.

Abah belikan Sufi bunga api. Sufi jadi seronok sampai Sufi lupa zikir. Tiba-tiba Sufi nampak kelibat babi hutan tepi parit. Dia sondol pokok pisang Atok. Sufi takut. Sufi terus berzikir. Sufi tahu dia datang sebab Sufi seronok main tanpa zikir. Sufi jadi sedih.

Abah bakar jamung dan abah cucur api pada surat khabar. Abah baling pada pokok pisang. Babi hutan masuk hutan kembali. Abah kata babi hutan takut pada api. Sufi rasa dia takut pada zikir Sufi. Mama panggil naik. Bunga api Sufi balut dalam surat khabar. Abah kata kalau bunga api kena air, jadi basah lembab, tak seronok, sebab nanti tak boleh main dah. Dia tak mahu terbakar. Sufi simpan surat khabar dalam plastik lusuh. Sufi minta abah selit pada ambang pintu. Esok Sufi main lagi.

Mama tunjuk Sufi baju baru. Baju kurung untuk Sufi. Baju kurung untuk Atok. Mama beli sama warna. Mama beri kain batik dan tudung pada Atok. Sufi pun minta tudung juga. Mama kata Sufi kecil lagi, Sufi baru 5 tahun. Sufi tidur awal malam tu, penat main bunga api. Bila Sufi terjaga, belum dengar bacaan Quran lagi, Sufi tahu belum masuk waktu sahur. Sufi cepat-cepat kejut Atok. Sufi terkejut. Atok tidak tidur di atas tilam. Atok baring dekat almari tua atas tikar lusuh. Sufi bangun perlahan-lahan pergi pada Atok. Sufi pun nak tidur atas tikar. Sufi kejut Atok. Atok buka mata. Sufi cakap.

“Atok, dah niat ke?” Atok tersenyum dan Atok rangkul badan Sufi. Sufi tidur berbantal lengan Atok.

Kini, Sufi dah dewasa. Sudah berumur 21 tahun. Sufi ingat apa yang Atok buat sepanjang Ramadhan ketika Sufi berumur 5 tahun. Setiap kali Ramadhan, Sufi akan ingat yang Atok selalu bangun awal sebelum sahur, Atok qiam, lepas tu Atok baca Quran. Ketika itu, Sufi tahu Atok sedang bertilawah tapi Sufi terus tidur. Atok kejut Sufi bangun sahur bila imam kampung baca Al-Fatihah dan kemudiannya ayat-ayat suci Quran yang lain.

Sufi pernah tanya pada Atok. Kenapa Atok bangun awal, solat qiam, baca Quran lepas tu Atok selalu menangis. Sufi jadi resah bila Atok menangis. Ada satu malam Sufi bangun sebab Atok menangis. Bila Atok nampak Sufi, Atok tersenyum. Sufi nak pujuk Atok tapi Sufi tertidur pula. Bila Sufi tanya Atok balik kenapa Atok buat semua tu. Atok jawab.

“Untuk memaknakan Ramadhan” Bila Sufi diam, Atok ketawa. Sufi tak mahu tanya lagi sebab nanti Atok akan cakap, “Nanti bila Sufi dah besar, Sufi akan faham” Sufi tak suka. Sufi lambat lagi nak besar ketika itu.

Bila Sufi tanya, “Atok faham ke baca ayat Al-Quran tu tok?” Atok ketawa. Atok lalu bercerita pasal seorang lelaki yang menangguk air menggunakan raga. Sufi jadi faham. Walaupun kita tak faham bila baca Al-Quran, Atok kata sekurang-kurangnya, pembacaan itu boleh membersihkan hati kita. Macam menangguk air menggunakan raga, air memang tak terkumpul, tapi raga jadi bersih. Sufi suka dengar cerita Atok itu. Sufi jadi rajin membaca muqaddam. Sufi dah hafal Al-Fatihah sampai Surah Al-A’diyat dalam muqaddam. Sampai sekarang, Sufi dah besar, ayat-ayat tu lazim Sufi bacakan dalam solat. Sufi juga menghafal Juz 28,29 dan 30 dari kandungan Al-Quran. Atok yang ajar Sufi menghafal.

*

“Sufiah, hang bila balik?” Sufi pandang Hazirah. Sufi jadi lupa pada Atok. Sufi senyum pada Hazirah.

“InsyaAllah esok. Hang, zirah. Bila balik?” Sufi bertanya kembali.

“Aku lambat lagi. Tiket aku lambat wei. Malam ghaya kot aku boleh jejak kampung laman. Haru..” Ujarnya sambil berseloroh. Hazirah hanya berseloroh.

Hakikatnya, Ramadhan baru menjelma. Sufi bakal balik ke kampung Atok. Sekarang Atok dah tak pakai langsir guni lagi. Rumah Atok dah jadi rumah bawah. Mama yang buatkan. Sufi rindukan Atok. Sufi tahu Atok akan buat Kuih Bakar, Bahulu dan kerepek pisang lagi tahun ni.

Tapi Sufi bersemangat nak balik hanya sebab satu perkara. Untuk memaknakan ramadhan bersama-sama Atok. Sekarang Sufi faham apa yang dimaksudkan Atok dengan ‘menjadikan ramadhan ber-roh’.

Sufi cuma ingin berpesan, Ramadhan yang bakal datang ini, haruslah dimaknai dengan melebihkan ibadah dengan ikhlas kerana Allah. Ramadhan merupakan madrasah taqwa bagi insan yang ingin menyucikan dirinya. Di dalamnya terkandung seribu satu rahmat yang tak terhitung nikmatnya. Jangan terlalu mengejar Lailatul Qadar, bimbang terbazir hari yang lainnya. Beribadahlah sepenuhnya di bulan ramadhan itu.

Kerana, Atok Sufi pernah berpesan, beribadahlah seperti inilah Ramadhan terakhir kita, kerana, bimbang-bimbang, mungkin benar inilah Ramadhan terakhir kita di dunia.

>Bintu Nasr (20 Sya’ban 1432H @ 22 July 2011 : 2:32AM)

Nota kaki: Ana memaknakan situasi ini hanyalah untuk merekayasa, intinya mungkin tidak terlalu ketara Cuma sekadar berkongsi ingatan, cara kita menymbut Ramadhan dulu dan kini mungkin berbeza. Di situlah terletaknya manis pengalaman. Inspirasi cerpen ‘gigi sulung’ ini ana perolehi semestinya berkat hidayah Allah s.w.t namun patinya terletak pada ingatan tulus ikhlas buat kedua almarhumah nenda ana. Al-Fatihah buat Almarhumah kedua nendaku Hajah Bidayah bt Abdul Hamid (Julai 2011) dan Ainon bt Mohamed (Januari 2009). Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

No comments: