Friday, August 12, 2011

Aku Dan Cahaya.


Kau membentangkan hamparan solatmu. Kau qiam sementara lalu bergemalah takbir di bibir lemahmu. Kau mendendang Iftitah bersahaja, selajunya kau memuqadimahkan Fatihah. Lalu setelah sebuah surah lazim yang kau baca laju-laju, kau lalu ruku’. Sami’Allahu liman hamidah. Tiba-tiba, keadaan menjadi sangat asing. Sangat asing.

Kau terpinga-pinga. Untung sahaja solatmu tidak batal. Tapi tetap kau masih terpinga-pinga. Sujudmu tangguh. Kerana kau masih terpinga-pinga. Apakah ini?

Di hadapanmu terbentang selautan yang amat aneh. Kau tidak pasti ombak apakah itu. Di pantai manakah kau berada. Tiba-tiba ombak itu beralun serentak. Sekali lagi kau terpana. Ya Allah, apakah ini? Dan kau masih dalam I’tidal.

Di hadapanmu berbaris beribu-ribu umat yang baru saja bangun dari sujud. Mereka tenang di antara dua sujud. Kau cepat-cepat memuqadimahkan sujudmu yang tertangguh. Entah mengapa. Kau bangun dari sujudmu yang pertama. Aneh. Cahaya apakah ini? Lautan manusia di hadapanmu tadi sedang enak mencium tanah tanpa berkutik sedikitpun. Aneh. Ada cahaya yang mengelilingi setiap daripada mereka. Ada yang sangat terang benderang, yang silau menyilau, ada yang sederhana tapi yang berlatar dekatmu itulah yang paling malap. Ya yang paling malap.

Di kananmu terdapat sebuah menara. Baru kau sedar itu. Menara itu terbuat daripada kaca. Aneh sekali rupanya. Menara itu punya pasir halus di dalamnya, sangat halus. Pasir di bahagian atas menara yang terbahagi dua dan dipisahkan lurah sempit lagi halus lebih sedikit dari yang terdapat di bahagian bawahnya. Selayaknya kau mengenal menara itu sebagai jam pasir. Ya jam pasir. Dan pasiran yang sangat halus itu terus menerus turun. Perasaanmu menjadi tidak enak. Kau merasa amat tergesa-gesa.

Kau lalu menyudahkan rakaat keduamu sepantasmu. Sedang insan-insan disekelilingmu masih ralit. Ralit di dalam qiam mereka. Kau menjadi takzim. Kerana apa yang kau dapati adalah cahaya-cahaya yang menyinari setiap dari mereka kini sekata. Kesemuanya terang bercahaya menyilau mata. Hanya yang berkitar dekatmu yang paling malap. Yang paling malap. Kau tolehkan kepalamu ke kanan, dan kau tolehkan ke kiri. Mengucap salam. Hilang. Lautan dan ombak insan tadi hilang. Kau terpana seketika, apakah itu?

Subuhmu usai sudah. Matamu terasa amat berat lalu kau dodoikannya dengan hawa subuh yang nyaman. Begitu sahaja.

Zuhur itu, kau berbuat seperti biasa. Selepas qiammu kau lalu ruku’ dalam lupa. Saat kau mengangkat I’tidalmu, sekali lagi kau terpana. Apakah ini? Kau menjadi sangat marah. Sekali lagi kau berada dalam lautan manusia yang sedang ralit beribadah. Mereka dengan jelas sedang sujud. Kau menjadi tidak puas hati kerana cahayamulah yang paling malap sekali. Entah bila kau segera menyamakan solatmu dengan mereka. Engkau sujud dan tidak bangun selagi mereka tidak bangun. Sujudmu terasa begitu lama. Lama sekali. Hinggalah kau merasa begitu nyaman ketika bangun dari sujud. Aliran di jantungmu terasa begitu pantas dan deras, kau merasa pembuluh darahmu lancar tak berhalangan, ah persetankan semua itu. Kerana tumpuanmu sekarang adalah cahayamu. Cahayamu masih yang paling malap di situ. Kau berusaha. Berusaha sekeras-kerasnya, bagi menerangkan lagi cahayamu. Kau ruku’ dan kau sujud sekeras-kerasnya demi menerangkan cahaya itu. Kau begitu menjaga setiap bacaan dalam solatmu, kau begitu menjaga setiap toma’ninah dan tertibmu. Tapi tetap, cahayamulah yang paling malap. Ia semakin terang, tetapi cahaya mereka lebih terang. Kau jadi cemburu. Kau selarikan salammu dengan mereka. Dan hilang.

Kau gelisah. Serasanya terlalu lambat masa berjalan. Asar terasa amat jauh. Kau bertekad bahawa kau akan berbuat sehabis baik untuk Asarmu. Moga cahayamu seterang mereka.

Kau hamparkan sejadahmu setelah kau selesakan hawa di kamarmu. Setelah ruku’, sekali lagi kau bersama mereka. Senyum bersabit di bibirmu. Nantikan, kau akan kalahkan cahaya mereka itu. Kau menjaga setiap rukun dalam solatmu, bacaanmu tartil, tingkahmu tertib, segala toma’ninah sekalipun ketepatan ruku’mu telah kau teliti. Cahayamu menjadi semakin terang. Kau merasa senang. Kau merasa tidak lama lagi cahayamu akan menjadi yang paling terang. Lihatlah kalian, aku akan mengalahkan kalian. Lihatlah cahayaku. Tiba-tiba belum sahaja ruku’mu yang keempat, cahayamu malap sama sekali. Kau hilang segalanya, kau menjadi sebak, cahayamu telah tiada. Kaulah yang paling hitam antara mereka. Kau menangis semahunya di sujud akhirmu. Salammu yang paling telat. Yang kau tahu setelah salam pertamamu, insan-insan tadi telah hilang terlebih dahulu. Tinggal kamu tanpa cahaya.

Kali ini, kau merendahkan hatimu serendah-rendahnya. Lebih rendah dari tanah tempat kau berdiri. Kali ini, kau memenuhkan dadamu dengan sebak yang melimpah. Tinggal tabir yang tertutup menghalangnya dari meruah. Kau bersedia dengan Takbiratul Ihrammu. Kali ini kau merasa sangat kerdil. Aneh. Situasi itu terjadi lebih awal. Baru sahaja kau menjatuhkan takbirmu, kau tertarik ke alam itu. Kau malas untuk memikirkan kerana kaulah yang paling malap. Jam pasir di depanmu itu sudah terbalik porsinya. Yang bawah mengatasi yang atas. Secara tuntas kau tahu bahawa masa semakin suntuk. Kau secara automatiknya memahami bahawa itulah jam masamu. Desup pasir itu terasa begitu laju. Tapi kau malas untuk mengendahkannya. Kerana kaulah yang paling malap. Kali ini, tidak kau hiraukan sesiapa. Kau sempurnakan solatmu mengikut hatimu. Kau letakkan dirimu satu-satunya. Satu-satunya. Usai salam, kau menoleh sekeliling, sungguh kau terasa ingin tersenyum tapi tiba-tiba menangis. Dan cahayamu yang tiba-tiba menjadi benderang menjadi lebih terang. Ye, kau sedar bahawa riakmulah yang memadamkan cahayamu sebentar tadi. Dan kerana itu kau menangis.

Cahayamu sangat terang, sangat terang. Tapi terang lagi cahaya insan-insan yang masih dalam sujud di hadapanmu. Kau merasa tidak mahu mengendahkan mereka kerana khuatir cahayamu akan malap jika melintas sebarang fikiran di benakmu. Tapi mindamu tidak mampu dihalang. Tetap juga kau berfikir. Mereka masih ralit dalam sujud, sedangkan kau setelah salam masih di sini. Ya, kau merasa aneh, tapi kau tahu tentu ada sesuatu. Jam pasir masih berdesup. Dan kau masih memerhati. Kau aneh, antara dirimu dan diri mereka. Kau menoleh ke kanan dan ke kirimu. Di saf tempat kau bersimpuh hanya kau sahaja di situ. Sedang insan-insan di hadapanmu berbaris rapat-rapat sehingga sukar kau melihat susuk di hadapan barisan depanmu itu. Kau tersedut kembali ke alam nyata.

Di hamparan yang kau lemparkan sebentar tadi, kau masih berteleku. Kau diam, tanpa mengisi senggang Maghribmu. Monologmu: “Ya Tuhanku, mereka itu berlumba-lumba denganku dalam mencari pandanganMu. Semestinya mereka itu yang lebih Kau pandang kerana terangnya cahaya mereka. Ya Tuhanku, aku ini kusam di hadapanMu, masakan bisa aku bersaing dengan mereka ya Allah. Ya Tuhanku, mengapa kau sisihkan cahayaku dari PenglihatanMu ya Allah, ya Tuhanku, apakah yang harus aku lakukan bagi merebut cahaya itu? Rezekikan hikmah kepadaku ya Allah. Rezekikanlah ya Allah.”

Lamunmu terhenti. Sayup-sayup terdengar bacaan Tilawah dari musolla taman perumahanmu. Kau lalu bingkas untuk memperbaharui wudu’mu. Kerana kau ingin merebut sehabis daya dengan insan tadi. Supaya kau menjadi yang paling terang dalam pandangan Tuhanmu. Kau meratakan wudu’ di setiap anggota wudu’mu. Kau telusi wudu’mu tanpa jeda. Hinggalah hikmah sampai ke benakmu. Kau terkersip tapi tidak lama. Tidak lama.

Kau bingkas ke kamarmu, lalu kau capai kopiahmu. Hamparan yang terhampar di permaidani kamarmu kau pandang sekilas lalu kau hampirinya. Kau tahu. Kau tahu. Hampar itu kau lipat dan kau keluar. Keluar dari rumahmu. Menuju musolla itu.

Kau berada dalam saf. Setelah kau menyapa teman kiri dan kananmu, setelah kau meniatkan Isya’ di hatimu, dan setelah kau mengangkat Takbiratul Ihrammu, kau kembali ke sana.

Jam itu masih berdesup. Dan bahagian atasnya sangat tipis. Pasirnya dikit. Tapi kau tidak hiraukan itu. Kerana takjubnya engkau yang kau kini berada di tengah insan-insan yang kau lihat dari balakang maghrib tadi. Kau telah berada dalam lautan kalangan mereka. Cuma cahayamu belum seterang itu. Kau tekad untuk merebut pandangan Tuhanmu, lalu kau perhalusi setiap inci solatmu. Kau berihsan bahawa Tuhanmu berada di hadapanmu, sehingga solatmu menjadi begitu tawaduk oleh akibat kau malu mengangkat muka di hadapan Tuhanmu. Kau mengikut langkah orang yang mengimamkanmu. Kau sedar bahawa kau mengikutnya tapi tidak kau peduli akan perkara lainnya. Kau terus ralit dalam ibadahmu. Dan tanpa kau sedari,kau menjadi sangat putih. Sangat putih. Tanpa kau sedari.

Tiba-tiba kau merasa Dilihat. Tapi kau malu mengangkat wajahmu. Kau risau bahwa rasa dibenakmu mungkin merupakan riak lalu terus kau perhalusi solatmu tanpa menghiraukannya. Dan kau menjadi sangat putih. Sangat putih.

Imammu memberi salam. Dan kau menyambutnya juga dengan salam penghabisan solatmu. Jam pasir di hadapanmu telah kosong bahagian atasnya. Kau pucat tapi cahayamu paling terang. Mengapa? Telah habiskah waktu?

Jam itu tertonggeng dengan sendirinya. Dan masa kembali berlari.

Kau tersedut keluar dari mimpi. Yang bukan mimpi. Di hadapanmu orang itu, begitu juga di kiri kananmu. Merekalah insan yang kau lihat dalam safmu sebentar tadi. Kau lalu berdoa: “Ya Allah, pandanglah daku, pandanglah daku”. Kau telah temui cahayamu yang paling terang dalam jamaah menghadapNya. Kini telah sampai hikmah ke benakmu.

Masa yang berlalu terasa begitu panjang. Untuk kau kembali mengukir cahaya di depan Tuhanmu. Ya, masa telah berlari dan nanti kau kan ketemu dengan subuhmu jika Tuhanmu menginginkan. Tapi, kau terasa masa begitu kosong. Lalu kau niatkan sunat menghadap Tuhanmu. Takbiratul Ihram kau angkat lagi. Kali ini kau berseorangan. Tiada saf depan, kiri dan kananmu. Kaulah cahaya di situ. Kaulah yang paling terang dan tiada yang menandingimu. Kau tersenyum kemudian menangis tapi cahayamu malah semakin terang. Kau arif bahawa ini bukanlah waktunya. Dan kau arif bahawa ketika inilah kurang persaingan buatmu. Tapi kau arif bahawa selamanya kau kerdil. Lalu dalam Qiamullailmu, kau memuji-muji Tuhanmu. Tidak kau pedulikan cahaya itu kerana kaulah satu-satunya di situ. Dan kau tahu Tuhanmu melihatmu.


Tol: Solat itu dinilai di sisi Tuhan. Ketahuilah bahawa dengan solat berjemaah akan bergandalah pahala amalan. Riak membunuh pahala amalan, merosak niat, memudarkan cahayamu di hadapan Tuhan. Dan tahulah bahawa solat sunat itu merupakan bonus bagi hamba-hambaNya yang benar mengharapkan keredhaan Tuhan mereka.-Saif Fissabil.

No comments: