Sunday, March 18, 2012

Kasih Ayah Yang Magik 1

2007

"Macam mana sekolah yong?" Suara yang sedikit garau itu menyapa telinga yang sedang meneliti jadual bertugas pengawas yang sedang diubahsuai. Banyak yang kena ubah ni, minggu lepas Rahman dah jaga pagar jadi minggu ni tak bolehlah jaga pagar lagi. Siapa nak baca doa kalau aku letak Wafi jaga pagar pulak? Ha..panggil Azim lah~

Tidak lupa menjawab sapaan ayah yang masih berdiri di depan pintu biliknya itu, dia mengangkat muka. Ayah sedang mengeluarkan butang-butang pada baju pengawal keselamatan yang dipakai, ayah letakkan satu persatu butang itu ke dalam beg hitam berzip yang ayah sering bawa ke mana-mana. Tingkah ayah jelas lemah, mungkin kerana memandu dalam kesesakan lalulintas dari Petaling Jaya. Dia kurang arif adakah ayah sering menggunakan jalan lama atau melalui LebuhRaya Guthrie yang baru saja dilancarkan penggunaannya.

"Sekolah? Hehe..entahlah yah penatnye ya Allah," Fail pengawas yang ditatapnya sedari tadi sejak dia duduk berteleku di atas katil usai Maghrib yang didirikan tanpa roh itu dia tutup dan ketepikan. Dia turun dari katil dan mengorak langkah keluar bilik.

Bilik ini merupakan tempat lepak rasminya di rumah, dia sangat jarang keluar dari bilik. Melainkan untuk bermasyarakat dengan keluarganya sahaja. Bilik ini sudah boleh dinamakan gua Nabilah, kerana sering sahaja dia menjadi pertapa setia penunggu bilik itu. Hingga pernah suatu ketika dia sesak nafas dan dibawa ke klinik kerana usai sahaja menggosok baju kerja ayah, dia yang ketika itu mula mengalami kesukaran bernafas terus masuk ke bilik, namun dapat dikesan oleh ibu, ibu pun mulalah melancarkan serangan terhadap habitnya yang satu itu. Katanya, selalu sangat berkurung tu pasal boleh sesak nafas.

Malam ini dia melabuhkan punggungnya di sebelah ibu yang sedang berbaring di hadapan TV. Dalam beberapa minit lagi drama Korea 'My Girl' akan mula ditayangkan. Gambar pemberita TV3 itu ditatapnya sambil membaca pengumuman yang ditulis kecil di bawah skrin televisyen.

"Duit belanja cukupke?" Ayah yang kelihatan baru mengambil pinggan di rak dan menuju ke periuk nasi bertanya lagi. Ayah beri seminggu RM25 untuk 5 hari. Jadi sehari belanja RM5. Duit bas pergi balik bervariasi julat harganya antara RM1.60-Rm2.00 bergantung kepada jenis bus yang dinaiki. Selain belanja rehat, duit RM5 itu juga turut digunakan untuk makan tengahari sebelum kelas persediaan tahun peperiksaan dimulakan pada petangnya.

"Cukup yah..Banyak lagi duit minggu lepas ada lagi RM 3 tambah minggu ni punya, kayalah hamba.." Ujarnya berseloroh. Ayah telah mengambil tempat di sampingnya sambil menatang pinggan penuh nasi dan lauk pauk. Rutin mereka begitulah sangat jarang makan bersama ketika hari-hari bekerja. Ketika cuti ibu gemar menyediakan masakan istimewa, masa itulah baru mereka duduk makan bersama-sama.

Di rumah hanya ada dia, ibu, ayah, am dan su. Wahid keluar ntah ke mana, mungkin ke rumah Amirul kawannya itu. Nyah pula berada di asrama.

Drama korea yang dinanti sudah bermula. Dia selalunya hanya berhubungan dengan ayah ibu dan adik2 ketika ini sahajalah. Selalunya usai makan, ayah akan mandi dan baring di hadapan tv di sebelah ibu tapi bukan untuk menonton tetapi untuk melelapkan mata sebelum masuk ke bilik betul-betul. Ibu juga selalunya penat pulang dari sekolah jadi hanya senyap menonton. Sekali-sekala ibu mengolah apa yang dilihatnya di televisyen atau berborak dengan ayah mengenai isu-isu yang dirasakan perlu. Dan dia, kekal memaku pendangan pada heroin yang sedang berlakon di dalam tv.

Malam kini berlalu sepi.

Pintuku diketuk bertalu-talu. Dia bangun sambil memisatkan mata. Orang yang mengetuk itu tiada di hadapan pintu, tapi dia telah biasa. Itu ayah. Ayah mengejutkannya untuk meminta bantuan untuk menggosokkan baju kerjanya. Kadang-kadang dia akan gosokkan sebelum tidur, tapi tadi malam seluar ayah masih dikeringkan di bangku meja makan jadi dia memutuskan untuk menggosoknya hari ini. Dia membuka suis, kedengaran ayah menggosok lantai bilik air, ayah pagi-pagi lagi dah bertenaga, seperti tidak terkesan langsung dengan kepenatannya bekerja semalam.

Usai menggosok baju dia melentokkan kepalanya di atas sofa sambil duduk. Dia tidak mahu berbaring kerana sebentar lagi dia ingin bersiap untuk ke sekolah kalau baring alamatnya lambatlah dia nanti. Selalunya bila ayah akan keluar rumah ayah akan gerakkannya untuk mengunci pintu. Ayah selalunya keluar sebelum subuh lagi, jam 5.30pagi dah dikira lewat bagi ayah. Kerana jika laluan sesak menghampiri hari cerah, kemungkinan untuk sampai ke tempat kerja dalam masa dua jam adalah tipis sekali.

"Yong, bangun yong..kunci pintu ni.." Dengan mata pejam dipegangnya jeriji pintu yang senang dipanggil 'grill' itu. Ayah memberikannya botol air sementara ayah memanaskan enjin. Dia ke dapur untuk mengisi air ke dalam bekas itu untuk bekalan minuman ayah. Ayah jarangbersarapan kecuali jika terdapat apa-apa yang boleh dimakan.

Dia kembali ke muka pintu dan menghulurkan bekas air kepada ayah. Seisi rumah masih senyap, belum terjaga. Jam menunjukkan hampir 5.15am. Dia kaget. Bimbang ayah telat.

Ayah menghulurkan tangannya untuk dia menyalaminya. Disambut dan dibawanya ke muka lalu dikucup tangan ayahnya.

"Belajar baik-baik yong.."Ujar ayah. Angguk. "Jangan tidur lagi, pergi jemur baju tu ayah dah mesin dah.."Tambah ayah sambil merapatkan pintu pagar.

Dia mendengus perlahan. Alah...tak jemur lagi ke? Selalunya ayah yang menjemur baju sebelum ke tempat kerja.

Kereta ayah yang sudah menderu dihantarnya dengan pandangan kosong ke rumah hadapan yang tidak berpenghuni. Tiada rasa gerun atau takut memandang ke landskap yang sewajarnya menyeramkan itu apath lagi pada waktu dinihari begini.

DIa menutup pintu. Niat di hati ingin menyambung lena dikambus dalam-dalam. Ada kerja yang perlu dibuat ini.

Rutin itu berlangsung hampir setiap hari. Dan dia membesar menjadi gadis berusia 17 tahun dengan norma yang begitu.


Bersambung...

Pingu Cool

No comments: