Saturday, March 31, 2012

Tidak mahukan hati ini....ia ENGKAR!

Menyalahkan hati.

Rasa sebal dan wordless.

Mencari-cari apalah yang boleh dijadikan harapan. Bila saban hari perkara sedemikian berulang dan kembali bersikap optimis, kononnya keadaan akan menjadi lebih baik, nanti.

Berbohong kepada diri sendiri merupakan sesuatu yang memeritkan ukhti.

Bila kita memilih untuk kekal tidak mahu berubah, sungguh kita masih boleh mencari jalan keluar, kerana yang tidak mahu berubah itu kita.

Tapi sekiranya kita ingin berubah, sangat ingin, sangat, sangat ingin, tetapi tidak mampu. Nah, akan terungkap rasa lemah dan dilemahkan, kerana qudrat terakhir itu hilang. Rahmat Allah juga tidak bersama.

Apalah perasaan jiwa hamba bila dirasakan salah tingkahnya pada tanggapan Pencipta?

Apalah perasaan kekasih bila si Belahan Hatinya tidak menyelinapkan tenang ke dalam jiwa atas keputusan yang diambilnya?

Apakah perasaan manusia, bila terasa perlakuannya tidak mendapat redha Tuhannya?

Sedih. Rasa sedih dan jauh dari syurga.

Rasa sedih dan hilang kebergantungan.

Tidak! Hamba itu berkata, "Tuhan, jangan tinggalkan hamba,ranap leburlah jasad, hancur hilanglah keyakinan."

Air mata mengalir bertali arus, mengundang sama lelehan air hidung petanda sebak yang melampau.

Hilang qudrat yang terakhir ibarat nyawa ditarik sedikit demi sedikit, sampai merasakan mahu menghilangkan diri dari dunia.

"Tuhan, aku tidak mahu hati ini, ia engkar Tuhan..." Sendunya dalam doa.

**************************************************************************************

Hati yang engkar.

Pagi terasa panas dan memijat kulit hingga terasa rengsa, jam menunjukkan hampir jam 10, mengutuk-ngutuk diri kerana kembali terlena selepas subuh tadi, rasa sangat hangin kerana masih belum berdhuha. Argh...serabut!

Punat lif ditekan, menunggu dalam rungsing menyebabkan rias mukanya kelat. Lebih kelat dan masam berbanding jeruk kelubi.

Usai pintu terbuka, diredahnya masuk dengan muka sedingin salju kutub. Sungguh dia hilang mood, hampir suku perancangannya tidak menjadi hari ini dan memungkinkan untuk dia gagal juga menamatkan hari ini dengan gembira yang saksama.

Lahar dibenak serasa ingin dimuntahkan pada pintu-pintu kamar yang tertutup itu. Sebal.
Rasa marah dan memberontak meronta-ronta di atmanya yang rapuh.

Sungguh, dia marah.

Pada hatinya sendiri.

Mengapa hatimu keras sekali Deena? Mengapa?

Tiba-tiba terasa titisan airmata menitis di pipi, disekanya dengan belakang telapak tangan sebelum tangannya menolak pintu makmal.

Dia harus kuat.

Keseorangan di makmal sambil menantikan stabilnya suhu sample yang masih di-maleanization-kan di dalam kelalang reaksi benar-benar mendera sukmanya.

Sumpahan senyapnya sebanding dengan bilangan zikirnya.

Dia memutuskan untuk keluar dari situ, lari seketika dari tanggungjawab. Sedangkan perbuatannya boleh menangung padah yang amat parah. Kemalangan, eksperimen tanpa kawalan.

Dia senyap di dalam surau. Zuhur masih jauh, sedang dhuha telah usai ditunaikan tadi lagi. Quran terasa berat untuk dipegang apatah lagi diselak lalu dibaca mukanya.

Dia gelisah. Dalam masa yang sedikit dia cuba bermuhasabah.

Apa yang telah terjadi Deena? Mengapa hidupmu kacau bilau?

Apa yang terjadi Deena, mengapa tingkahmu sumbang di sisi manusia juga dirimu sendiri?

Apa yang terjadi Deena........? Argh! Diam! Kamu yang bertanya, sedang itu semua datangnya dari kamu sendiri, hatiku yang khianat!

Deena benar-benar rasa terganggu, dirembeskan air matanya sekuat-kuat hatinya, tanpa esak, tangisannya terasa perit di kerongkongan, dia tidak boleh menarik perhatian sesiapa untuk mampir ke surau kerana sekarang adalah masa meditasi hatinya, dia harus bersendirian.

Sebenarnya tiada apa yang terjadi.

Tingkah Deena biasa-biasa sahaja, ibadahnya sama, tiada kurangnya, hubungannya dengan keluarga baik dan dia tidak pernah lupa mendoakan mereka, adik-adiknya juga amat tsiqah dan patuh padanya, para akhowatnya juga sangat membantu dan wajar membahagiakannya, apatah lagi permata-permata hatinya yang digilapnya khusus kerana agama.

Tapi....ada sesuatu yang hilang.

Hatinya.

Deena sebenarnya berjalan tanpa hatinya. Berbuat dengan kosong sukmanya. Menjadikan ia cepat penat sedangkan apa yang dibuat segalanya demi makanan rohaninya itu.

Tapi mengapa hatinya sangat jahat dan menidakkan segala keperluan biasanya itu, adakah hatinya sudah mula bosan dengan makanan sedemikian sedangkan ia adalah makanan paling lazat dari kalangan nikmat dunia?

Atau hatinya sudah mula ENGKAR?

Deena merengus sedih, memarahi dirinya sendiri.
Terasa lemah tanpa pegangan Allah sedangkan DIA sangat hampir melebihi urat lehernya sendiri.

Nazrahnya luka tersayat kesedihan yang lahir entah dari mana.

Hinggakan kalbu sukmanya meruntun derita bertanya tentang di manakah terletaknya hak 'mereka'?

"Tuhan, aku tidak mahu hati ini Tuhan, tukarlah hatiku dengan hati yang lain, ia sudah engkar daripada taat kepadamu, merasa lelah dengan kebaikan dan mula merasa tertarik dengan dunia. Ambillah ia dan hancurkan, gantikan aku dengan hati yang baru Tuhan," luah Deena tanpa sedar akan apa yang diucapkan.

Deena buntu. Deena berasa tidak tahu.
Dia lemah, dan merasa dilemahkan.

Dalam esak tangis yang semakin memudar, wajahnya disimbah cahaya dari venetian blind yang bergayutan di tingkap surau.

Cahaya yang tepat menampar wajahnya itu tidak memperkenalkan rasa pijar di pipi tapi silau di irisnya.

Deena terpana. Dalam sinar matahari yang menampar pipi itu, Deena melihat titis-titis hujan yang diturunkan dari langit.

Dia sangat mencintai hujan!

Deena rasa terpujuk.

Tiba-tiba, Deena menyentuh dada kirinya, cuba mengesan detak jantungnya. Memanggil hampir nazrahnya yang kelabu.

Denyutannya makin menyusut, muka Deena terasa tegang, gerakannya longlai, Deena teringatkan eksperimen yang sedang ditinggalkannya...tapi Deena tidak mampu berbuat apa-apa..dia terkulai longlai dalam keadaan mukanya bersimbah cahaya dalam gerimis di tengahari Jumaat itu.

Hatinya pergi menemui Tuhannya.

No comments: