Sunday, April 1, 2012

Hadiah Hati Yang Baru.

Matanya melilau. Sungguh dia telat. Aduh, mesti akhowatnya menunggunya. Aduh, yang sakitnya jika mereka kekal tersenyum sekalipun dia telat hampir 7 minit. Senyuman itulah merupakan hukuman paling kejam daripada mereka. Dia lebih merelakan teguran dan bebelan berbandning segarit senyuman yang boleh menikam ke tangkai jantung.

Langkah kaki yang berselirat kiri dan kanan ditapakkkan tanpa jemu. Dia tidak tahu bila sendi lututnya yang satu ini akan kekal berkhidmat padanya. Yang pastinya dia faqih akan keperluannya untuk terus bergerak, hatta kelelahan terzahir dengan jelas sekalipun. Kerana dia seorang doktor. Doktor umat.

Tapi hari ini dia telat.

Matanya dan mindanya yang berceratuk tadi kini terarah kepada sesusuk tubuh yang berjalan longlai. Tubuh yang datang dari arah bertentangan itu pada firasatnya ibarat dilantun tanpa nyawa. Dia hairan.

Matanya melototi rentak langkah dari arah bertentangan it. Tubuh yang langsing yang dibalut dengan baju kurung moden berwarna merah nampak manis jika tidak dipandang ke arah wajah yang nyata sugul walaupun dalam kelam. Tudung atau lebih tepat selendang atau shawl yang terletak serabut di kepala menambah sangkaan buruk. Dia bertambah tertanya-tanya.

Gumpalan soalan yang berselirat di minda disusun menjadi ayat-ayat sapaan.

"Dik, assalamualaikum, ok ke?" Ujarnya secara tiba-tiba. Ayat-ayat yang disusun tidak sempat disempurnakan terus meluncur keluar.

Gadis tersebut memandangnya kosong lalu menangis teresak-esak.

Sangkaan buruknya menular liar.

"Adik, ok ke ni?" Soalnya risau, jika ditilik dari perwatakan gadis itu kala ini, senang saja singgah apa-apa anasir di mindanya.

"Akak.....saya..." Gadis itu tiba-tiba sahaja mampir lalu memeluknya. Dia mengeluh perlahan.
MasyaAllah.........

"Subhanallah....,"bicaranya terbata. Menyingkir jauh sentimen negatif yang wujud, haruslah ia berbuat begitu. Jiwanya harus jiwa seorang doktor, bukan hakim.

"......Alhamdulillah, betapa bertuahnya kita. Tidak Allah takdirkan kita meninggal dunia dalam keadaan masih belum bertaubat.."Ujarnya memuqadimahkan rawatan. Esak gadis tadi makin gencar. Di tengah jalan itu mereka berpelukan. Tanpa menghiraukan sebarang risiko yang bukan-bukan.

Gadis itu diam.

"Maaf ye adik, akak nak beritahu, sebelum tu nak minta maaf, jiwa jahat akak sangat kejam, ia mudah bertindak menghukum, tapi ia masih lembut, boleh dilentur dengan ilmu. Bila adik berkeadaan begini, akak mudah mentafsirkan perkara yang bukan-bukan, maafkan jiwa akak yang khilaf. Tapi kalau sudi adik fahamkan akak keadaan adik ini, jiwa akak amat berterima kasih.....," Dalam sabar, dia memancing. Sungguh dia tak mampu mengawal hati yang sering berkhianat padanya akhir-akhir ini, namun dia tetap berusaha mengawalnya.

"Akak...saya..tak tahu nak buat apa....saya tak sangka..."ujarannya terhenti. Entah mengapa jiwanya melembut kepada entiti di hadapannya ini, dia berasa tenang dan selamat sekalipun dia tidak langsung mengenali insan yang membahasakan dirinya adik ini. Sekalipun begitu, dia tiada jalan lain. Dia buntu, merasa tidak tahu, ibarat ditolak ke hujung tebing yang memungkinkan dia jatuh pada bila-bila masa sahaja.

Nabilah merengus perlahan, lebih kepada membuang rawan. Hatinya pedih. Rasa sayang kepada saudara seIslam-lah yang mengangkarakan perkara ini terjadi. Dia tidak tahan melihat perkara yang dihadapi saudaranya ini. Dia merasa sakit. Sangat sakit.

"Astaghfirullah.....lihat, Allah masih sayang. Lalu apa yang hilang?" Dia sebenarnya kesuntukan masa. Nasibnya mungkin baik kerana dia masih belum sempat mengaktifkan deringan telefonnya tadi, kerana sesungguhnya dia terasa getaran senyap telefonnya di dalam beg belakang badannya. Sekurang-kurangnya tiada deringan yang boleh mengganggu hati mad'unya ini.

"Kak.....ada kak, ada yang hilang.. Saya nampak teman lelaki saya kak...duduk kat kerusi depan kedai burger tu tadi, saya datang tanya dia tak mengaku dia tengah dating. Padahal bukan main lagi bergelak ketawa dengan perempuan tu, hee....sakitnya hati kak!" ujar gadis itu separuh menjerit, dia tiba-tiba memegang kepala lalu mengusapnya kasar. Tahulah Nabilah asbab keserabutan gadis itu. Fikirnya tadi gadis ini menghadapi masalah lebih berat, seperti gangguan seksual atau sebagainya, rupa-rupanya akibat bergaduh dengan teman lelaki. Sahaja.

Gadis itu tiba-tiba duduk bersila di atas tar. Nabilah tidak cepat melatah. Dia tersenyum lalu turut sama duduk. Gadis tadi mengangkat muka dan mempamer riak kurang percaya. Sangkanya tadi kakak itu akan meninggalkannya seorangan.

Rupa-rupanya tidak.

Dia memandang kakak yang berada di fokus tumpuannya itu. Riak wajah yang dipandangnya itu sedang tersenyum. Dia takjub dan hairan. Apakah ini? Rahmatkah atau maghfirah?

Malam itu dua hati mula bertaut.

Terima kasih Tuhan kerana menakdirkan aku bertemu dia.
Terima kasih kamu kerana telah melukai aku.


Pingu Cool

No comments: