Friday, April 20, 2012

Al Fatihah Di Hati Nabilah.

~Sekapur sireh...sekapur sireh...~Nada dering tak sempat dihabiskan kerana aku telah mengangkat panggilan. Mataku mengerling ke sisi kanan paling bawah komputer riba, 11:59. Siapakah?

"Assalamualaikum!" Aku tergamam seketika. Subhanallah siapa ni? Lelaki! Ya Allah seram!

"Waalaikumussalam. Siapa?" Ujarku datar, membenam haru dalam dada, bunyi suara macam pakcik-pakcik, mungkinkah pakcik-pakcik aku? Fikiran-fikiran buruk menerjah ke segenap ruang dalam frontal, parietal, occipital lobe dalam otak. Harapanku tiadalah yang buruk-buruk berlaku.

"Ni cik Nabilah Nasri ka?" Ah, sudah....ya Allah kuatkanlah hatiku...
"Ye saya, siapa ni?" Soalku lagi, jantung sudah mula meloncat-loncat. Sesak!
"Ni...saya nak hantaq ayaq.." Ayaq? Air?! Subhanallah! Otak mencongak-congak! Air, macam mana ni? Air....ya Allah malam-malam baru dia nak hantar?!

Keadaan memaksa aku untuk kembali bersiap dengan sesegera yang mungkin. Di NIK hanya ada Ana, yang haluih muluih tu...Tak sanggup teman nak biarkan dia sendirian berurusan dengan orang yang berkenaan malam-malam gini. Penghantaran air yang aku tempah semalam rupa-rupanya adalah pada tengah malam ni! Subhanallah!

Akhirnya, aku juga berlari-lari anak ala-ala menamatkan larian pelari pecut negara, menamatkan tak pernah nak mula-mula.

Untung, urusan yang dijanjikan selesai dengan baik, kasihan pada Ana dan Ain Zul yang terpaksa juga mengerah kudrat pada malam-malam hari untuk memasukkan berkarton-karton air yang aku tempah itu. Sejuk mata melihat karton-karton yang molek tersusun, sekurang-kurangnya ada satu urusan yang InsyaAllah dipermudahkan kini.

Hari yang telah terlalu lewat, memaksa aku untuk kekal di NIK, memandangkan aku berlari keluar bilik tadi hanya sehelai sepinggang melainkan beg duit, makanya aku harus kembali awal ke desa esok pagi.

Malam itu terlalu banyak perkara yang sempat dibualkan bersama Ain Zul dan Kak Ema sebelum terlena, sangat lawak dah lama tak berbual malam-malam dengan akhowat. Selalu mabit, senyap sepi lesuh senia sahaja.

Mimpi indah. Teringat satu klausa yang pernah seseorang kenalkan kepadaku. Dalam mesejnya dahulu jarang ia tinggalkan dari memutarkan klausa itu. Hatta sehingga kini aku masih menyebarkannya ke hati mad'u, membelai hati buat diikat. Dalilah Hadifah, mana awak sekarang?

Pagi itu aku bangun lewat. Jam di pergelangan tangan yang sengaja tidak aku tanggalkan bimbang keciciran menunjukkan angka 5:40am. Suasana di NIK masih sunyi. Ah sudah...semua belum sedar lagi! Aku kejutkan semua yang aku rasakan berkenaan. Sudah terlalu telat ini, bimbang tidak kesampaian witirnya.

Usai mengambil wudhuk aku sempurnakan tahajud. Usai tahajud aku kejutkan kembali warga rumah. Hatiku bungkam bila mendengar azan yang berkumandang. Bila guna perkataan berkumandang ni feel nak raya pulak. Hm..azan subuh berkumandang.

Kasihannya..miss qiam depa.

Sementara menunggu kendirinya jemaah subuh pagi itu, sempat juga aku sempurnakan taubat dan witir, simple.

Aku menyudahkan 1 rakaat yang masih berbaki sementara menunggu sekalian jemaah, tiba-tiba hatiku disapa, kecintaan kepada Rasulullah.

Entah mengapa tiba-tiba otakku melantunkan frasa itu.

'Kecintaan kepada Rasulullah' Automatik mataku bergenang. Kecintaan kepada Rasulullah. Tiba-tiba ku teringat tazkirah yang merupakan kuliah mingguan medan saujana yang disampaikan Fatihah semalam tadi. 4 Tips dari Habib Al-Jufri untuk bermimpi Rasulullah.

Pertama, perbanyakkan selawat ke atas baginda. Biasa. Kedua, penuhkah cinta dalam jiwa untuk baginda. Biasa. Ketiga, lakukan sunnah-sunnah baginda. Biasa. Dan keempat berkhidmat untuk ummah. Biasa.

Biasa. Semua pernah dan biasa dibuat. Astaghfirullahalazhim.

Pagi itu otakku menegur hati. Dalam tahiyat akhir itu aku bermuhasabah, aku sedang melaksanakan sunnahnya. Tapi selalu aku laksanakannya sebagai rutin yang rutin. Hari itu otakku yang sempit menegur hati yang tinggi. Kecintaan apa yang masih berbaki?

Salam aku beri ke kanan dan kiri lalu aku bangkit. Aku pandang ke langit menerusi tingkap yang terbuka. Gelap. Syukran ya Allah menghadiahkan aku hadiah!

Aku berdiri mengangkat iqomat, berimamamkan kak Mas, hatiku terarah, kerana kecintaan kepada Rasulullah, dan Allah. Aku harus berbuat. Mencari roh dalam solat. Kekasih Allah mencintai yang itu baru aku berbuat yang itu. Kekasih Allah melakukan yang itu, maka aku melakukan yang itu.

Zikir selepas solat yang biasa, hari ini mengguntur atma. Hari yang lain. Al Fatihah pada permulaan doa aku hayati seperti selalu-selalu.

Berat padaku erti Fatihah itu. Amat dekat sukmaku dengan permintaan-permintaan yang terlakar pada Al Fatihah. Menjadikan aku perujuk setia kepadanya dalam hampir banyak liqo dan urusan termasuk pagi itu.

Al Fatihah di hati Nabilah bukan hadiah yang biasa-biasa. Tangkalku untu terus berjalan, panduan yang menyuluh hamparan. Menjadikan aku, aku di landasan Tuhan.

Terima kasih ya Allah untuk otak, mata, hati, jasad yang lainnya dan juga...Al Fatihah.

Alhamdulillah, aku Islam lagi pada hari ini. Masih berlari mencari iman, moga tetap dalam urusan Tuhan. Alhamdulillah.

Pingu Cool

No comments: