Thursday, April 12, 2012

Taubat Sambal Belacan.

Jam menunjukkan jam 3:35p.m. Aku telah merancang sedari selepas Zuhur tadi untuk melenakan diri dan merehatkan mata sebentar, setelah bersengkang mata sejak selepas riadhah pagi tadi.

Usai tetingkap internet browser kututup. Tekad, aku harus lelap kalau tidak lelah mahu qiam nanti malam.

'Aku dimarahi dengan sebegitu teruk hingga rasa sangat sebak, kepalaku sangat berat dan pening, aku lalu membela diriku, kenapa marah saya? Kenapa marah saya?!' Kedengaran bunyi dia yang memarahi menetuk dan menghentak meja, bingit rasanya.

Sentap! Aku pegang kepalaku kerana otak sebelah kananku serasa bergoncang. Aku hela nafas lega. Oh, jam 4:40pm, asar. Ujarku sendiri. Telah terlalu sering aku tersentap ketika masuk waktu-waktu solat ini. Fikirku mungkin mimpi tadi bertujuan mengejutkan aku. Tetapi...

Tiba-tiba mataku terbuka luas, tersentak dari mimpi yang serasanya benar. Badanku rasa terhayun dan bergoyang di atas katil, aku tergamam dalam keadaan mamai, kenapa goyang-goyang?

Bunyi hentakan meja yang kudengar dalam mimpi tadi juga sebenarnya wujud, ia adalah bunyi pintu bilikku yang turut sama bergegar.

Aku dengan mamai dan keliru bangun dan terus menutup tingkap bilikku yang satu-satunya ku buka untuk ventilation bilik ini, usai, gegaran pintu semakin perlahan.

'OH, angin rupanya' Gagasku.

Tetapi hatiku rasa kurang selesa aku lalu kembali ke katil dan meraba tilam dengan tangan. Bergegar. Aku duduk. masih bergegar. Aku kembali baring. Ya Allah, bergegar. Apakah yang sedang berlaku?

Pintu tidak lagi bergerak. Senyap. Katilku juga tidak lagi tergegar. Aku terpana.

Gempa bumikah? Gempa bumikah? Atau aku masih bermimpi?

Aku mulai panik bila kedengaran riuh-riuh di luar datangnya dari tingkat atas dan bawah. Aku keluar. Aku lihat beberapa pelajar turut keluar dan meneliti keadaan. Saat itu aku tahu yang gempa tadi bukan imaginasiku. Aku tiba-tiba rasa gerun dengan kekuasaan Allah.

Sempat juga aku masuk ke tandas sebelum mengambil wuduk. Aku harus. Aku harus. Tidak mahu mati tanpa kewajipan terlunasi. Aku wajib solat.

Air mataku mengalir. Bersendirian tanpa mengetahui apa-apa di dalam bilik aku kaget. Aku tiba-tiba terfikir untuk membuka facebook.

Penuh dengan status friend yang mengatakan gempa bumi dirasakan di tempat-tempat mereka. Hakikatnya, mereka berada di tempat-tempat berbeza. Penang, Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka.

Tangisanku melaju. Ya Allah telah datangkah masa yang Kau janjikan?

Aku menangis, tanganku mencapai telefon tangan yang elok terletak di bawah bantal. Aku terbata. Ingin mesej siapa?

Ibu? Nanti ibu risau. Tidak mustahil ibu akan memecut dari kediaman kami di Teluk Intan untuk datang ke Penang.

Aku terus melayarkan mesej kepada akhowat yang masih berhampiran, kak Mas dan Syuhada.

'Takut..' Taipku pendek.

Syuhada membalas pantas.

'Rasa gegaran juga ke? Masih gegaran lagi? Kat sini dah tak rasa. Akak ok ke tu?Jangan takut. ' Rupa balasannya.

Kemudian datang pula balasan dari Kak Mas.

'Gegar ke? Tadi Syu cakap dia rasa gegar. Kuat ke? Istighfar banyak-banyak ukhti.'

Sebelum qiam untuk solat, aku sempat menaip mesej kepada Nina dan nyah.

'Gempa Bumi.'

Allahu Akbar.

Aku memusatkan perhatian dan pengharapan kepada Dia yang aku sembah. Serta merta teringat kupasan tafsir surah Muzammil yang pernah aku bentangkan.

Dalam galau hati yang belum ditemani tenteram aku cuba untuk berserah. Damai.

Hati rasa sedikit tenang selepas solat. Aku capai mushafku lalu aku selak tepat ditanda bacaan yang aku tinggalkan. Dan ketenangan tadi sirna sedikit demi sedikit melihatkan terjemahan ayat yang bertanda.

"Betapa banyak negeri yang telah Kami binasakan, siksaan Kami datang (menimpa penduduknya)nya pada malam hari, atau pada saat mereka beristirahat pada siang hari."

Pingu Cool.

No comments: